SESIAPA sahaja yang terpandangkan bekal makanan atau kini popular dengan panggilan Bento cetusan idea Hasnawati Yahya, 36, ini pasti akan teruja.
"Sayang nak makan!". Itu antara komen yang diberikan para pengikut di laman sosial Facebook dan Instagram peribadinya setiap kali dia berkongsi Bento untuk anak-anaknya ke sekolah.
Ibu kepada tiga anak ini ketika diminta berkongsi bersama KitaReporters baru-baru ini memaklumkan semuanya bermula enam tahun lalu apabila anak keduanya memilih makanan dan tidak menyukai sayur.
"Saya memang berniat sediakan sendiri makanan dari rumah tetapi disebabkan anak agak cerewet saya cuba sorok rupa sayur dalam bentuk yang lebih menarik.
"Karektor pertama saya buat ialah Minions. Anak suka karektor kartun tersebut dan saya lega apabila bekal yang saya sediakan habis dimakan," katanya yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang.
Hasnawati kini menetap di Selangor aktif menyediakan Bento dengan pelbagai karektor sejak empat tahun lalu sehingga idea kreatifnya menarik minat beberapa syarikat tempatan untuk menawarkan produk berkaitan.
"Saya berkolaborasi dengan beberapa syarikat tempatan dan turut mendapat pelawaan dari luar negara untuk membuat 'review' produk mereka berkaitan Bento.
"Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka Bento cetusan idea saya dan anak-anak ini mendapat perhatian ramai, semuanya hanya kerana niat mahukan nutrisi terbaik untuk anak," katanya, yang pernah dijemput ke beberapa rancangan televisyen berkongsi mengenai Bento kreatif.
Bento adalah bekal makanan yang diinspirasi daripada Jepun dengan dilengkapi keperluan tubuh manusia seperti karbohidrat, protein dan serat.
Hasnawati turut memasang impian untuk menghasilkan video tutorial menerusi saluran sendiri yang lebih berkualiti agar lebih ramai mendapat manfaat dalam menyediakan makanan berkhasiat kepada anak-anak.
"Saya akan elakkan makanan rapu dan makanan proses. Dalam menghasilkan dekorasi yang menarik dalam Bento, saya menggunakan buah-buahan atau sayur-sayuran sebagai pewarna. Contohnya biru dari bunga telang dan merah jambu dari ubi bit (beet root).
"Sebelum ini, saya turut berkongsi cara menghasilkan Bento dengan mengadakan bengkel selain mendapat jemputan daripada beberapa institusi," katanya.
Apa yang mencuit hati Hasnawati ialah Bento anaknya turut menarik perhatian kawan-kawan dan guru di sekolah sehingga ada dalam kalangan mereka terikut-ikut membawa bekal makanan ke sekolah.