LEMBAH Klang kini sudah bersedia beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) susulan penurunan kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan dan pusat kuarantin.
Naib Presiden i-Medik, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata keupayaan perkhidmatan kesihatan negara juga kini lebih baik berbanding beberapa bulan lalu ketika peningkatan kes COVID-19 yang ketara.
Katanya, bermakna kadar vaksinasi yang meningkat di negara ini sudah diterjemahkan dengan pengurangan gejala yang serius dalam kalangan individu yang sudah divaksinasi.
"Bagaimanapun, apabila Lembah Klang sudah masuk Fasa 2, terdapat beberapa perkara perlu dilaksanakan secara berterusan, iaitu vaksinasi secara jumpa terus atau 'walk-in' diteruskan kerana masih ramai individu belum mendaftar.
"Selain itu ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) secara berkala perlu dijadikan rutin. Malah sebahagian prosedur operasi standard (SOP) juga perlu dikekalkan bagi mengawal kes baharu," katanya seperti dipetik Berita Harian, 4 September 2021.
Dr Rafidah Hanim berkata, walaupun Lembah Klang akan beralih ke Fasa 2 kelak, masyarakat harus menyedari rangkaian jangkitan virus berkenaan masih belum dapat diputuskan sepenuhnya.
"Fasa 2
lebih ke arah memulihkan sektor ekonomi, sosial dan pendidikan. Justeru norma
baharu masih perlu diamalkan masyarakat dan hanya keluar untuk urusan penting
serta mengehadkan pertemuan secara bersemuka. - KitaReporters