
Beliau berkata SPRM yang mencecah usia ke-54 tahun memerlukan pendekatan seperti itu dilaksanakan segera supaya negara ini tidak tercicir daripada menguatkuasakan undang-undang rasuah setanding negara maju lain.
“SPRM kini perlu mencari kaedah baharu dengan strategi tindakan yang lebih fokus supaya (penguatkuasaan undang-undang) memberikan hasil dan impak kepada masyarakat terutamanya membabitkan kes dalam ketirisan dana kerajaan.
“Ketika ini, tiada undang-undang boleh disabitkan terhadap mereka yang menguasai perolehan projek dan SPRM telah mencadangkan untuk memasukkan peruntukan undang-undang baharu mengenai tanggungjawab mendedahkan pemunya benefisiari ke dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694),” katanya dalam wawancara khas secara maya baru-baru ini sempena Sambutan Ulang Tahun BPR/SPRM Ke-54.
Azam berkata, menerusi undang-undang itu jenayah kartel projek dapat dikurangkan sekali gus mengurangkan ketirisan dan salah guna dana kerajaan. -KitaReporters