POLIS Pahang akan menjadikan Langkawi sebagai panduan dalam menerima kehadiran pelancong susulan gelembung pelancongan di Pulau Tioman dan Genting Highlands mulai 1 Oktober 2021.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan keperluan kehadiran polis yang lebih intensif di dua destinasi pelancongan terbabit.
PDRM kini sedang melihat serta mengambil contoh amalan terbaik diamalkan di Langkawi dan mungkin ada pengajaran disesuaikan dengan keadaan di kedua-dua destinasi di negeri ini.
"Jika memerlukan penambahan jumlah anggota yang lebih ramai, itu yang kita akan lakukan dalam memastikan semua peraturan dapat dipatuhi oleh pelancong.
"Kita tidak mahu sektor pelancongan yang mula dibuka bulan depan (Oktober 20) berakhir dengan penularan wabak COVID-19 hingga mengundang pelbagai masalah," katanya seperti dipetik Berita Harian, Ahad, 26 September 2021.
Jumaat lalu, Pahang beralih memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sekali gus membolehkan sektor pelancongan di Pulau Tioman dan Genting Highlands kembali aktif untuk menerima kehadiran pengunjung. - KitaReporters