PEMBERIAN vaksin COVID-19 tanpa janji temu atau secara walk-in (jumpa terus) di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Perak kurang mendapat sambutan.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sejak diumumkan pemberian vaksin tanpa janji temu itu pada Rabu, 23 September 2021 lalu, keadaan di beberapa PPV di negeri ini masih lengang tanpa kehadiran penduduk.
Menurutnya, antara punca keadaan itu berkemungkinan anggaran jumlah penduduk yang dibekalkan Jabatan Perangkaan tidak sama dengan jumlah penduduk sebenar.
"Jadi bilangan anggaran itu jauh lebih besar daripada jumlah sebenar menyebabkan tiada lagi yang hadir kerana mereka sudah mengambil vaksin.
"Keduanya sebahagian besar penduduk Perak mengambil vaksin di negeri lain seperti di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang," katanya seperti dipetik Sinar Harian, Sabtu, 25 September 2021. - KitaReporters