Anak gajah betina ditemui tersesat diselamatkan oleh Perhilitan dan telah diberikan rawatan luka. - Kredit foto: Sinar Harian
SEEKOR anak gajah betina yang tersesat masuk ke kawasan kampung dekat Pos Poi, Sungai
Siput, Perak diselamatkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
(Perhilitan) Perak pada 24 Julai 2021.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, kehadiran anak gajah yang dianggarkan berusia dua tahun itu disedari penduduk yang terlihat haiwan berkenaan menyorok di bawah jambatan besi menghala ke Kampung Dala.
“Sejurus menerima maklumat berkaitan penemuan itu pada jam 7.30 pagi, pihak Perhilitan segera ke lokasi dan membawa anak gajah itu ke Pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput bagi tujuan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, kita mendapati terdapat kesan luka kecil pada anak gajah tersebut. Berkemungkinan haiwan ini telah digigit anjing hingga menyebabkannya alami kecederaan.
“Selepas diberikan rawatan, keadaan anak gajah itu semakin baik kini,” katanya yang dipetik laporan Sinar Harian pada 24 Julai 2021.
Tambah
Yusoff, anak gajah tersebut akan dihantar ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan
(PKGK) Kuala Gandah, Pahang bagi memastikan haiwan itu selamat. - KitaReporters