Wanita ditemukan maut setelah tertimbus tanah runtuh di Jalan Sungai Palas, jalan utama ke Brinchang, Cameron Highlands. - Kredit foto: FB Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang
SEORANG wanita berusia 59 tahun ditemukan maut tertimbus dalam
kejadian tanah runtuh di Jalan Sungai Palas menghala ke jalan utama ke Brinchang, Cameron Highlands pada 16 September 2021.
Kejadian kira-kira 3 petang itu berikutan hujan lebat hingga menyebabkan berlakunya runtuhan tanah dan aliran lumpur serta pokok tumbang.
Memetik laporan Utusan Malaysia siaran 16 September 2021, mangsa yang dilaporkan terperangkap dalam kejadian berkenaan dijumpai pasukan penyelamat jam 5.41 petang hari kejadian dan dihantar ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom, Cameron Highlands.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Shahrul Nizam Nazir berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan jam 3.30 petang.
“Kejadian menyebabkan sebuah rumah kebun runtuh dan seorang wanita terperangkap dalam runtuhan yang dianggarkan satu meter,” katanya seperti dilaporkan oleh Kosmo, 16 September 2021.
Sementara itu, menerusi satu kenyataan dalam Facebook Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang memaklumkan operasi mencari dan menyelamat telah dibantu oleh tiga buah ‘backhoe’ untuk membersihkan sisa runtuhan serta lumpur.
Mangsa yang tertimbus ditemukan meninggal dunia jam 5.41 petang dan dalam kejadian itu juga dua perempuan mengalami luka ringan. - KitaReporters