KETUA Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, siasatan pihaknya mendapati lelaki itu telah nekad terjun ke dalam laut dari Tanjung City Marina dan cuba berenang menuju ke Seberang Perai. - Kredit Foto: Utusan Malaysia
GARA-GARA berang tidak mendapat surat kebenaran merentas daerah seorang pemuda nekad berenang merentasi Selat Pulau Pinang untuk ke Seberang Perai pada Isnin, 12 Julai 2021 lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten
Komisioner Soffian Santong, siasatan pihaknya mendapati lelaki itu telah nekad
terjun ke dalam laut dari Tanjung City Marina dan cuba berenang menuju ke
Seberang Perai sejauh tiga kilometer.
“Namun, dipercayai akibat kepenatan, dia telah
berpatah balik menghala ke tempat pejalan kaki jeti feri sebelum berjaya diselamatkan
oleh petugas Penang Port Sdn. Bhd.
“Lelaki itu memberitahu dia nekad berenang untuk
berjumpa rakannya selepas gagal mendapatkan kelulusan permit rentas daerah
daripada pihak polis kerana tiada alasan munasabah,” katanya seperti dipetik oleh
Astro Awani Khamis, 15 Julai 2021.
Soffian berkata, semasa diselamatkan, tiada sebarang
dokumen pengenalan diri ditemui pada lelaki yang tidak bekerja itu dan hanya
menyatakan butiran peribadi secara lisan.
“Dia dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan pemeriksaan doktor mendapati lelaki itu mengalami cedera patah tangan kanan,” katanya. - KitaReporters