Bomba memotong kunci mangga pintu bagi selamatkan seorang wanita bersama kucing peliharaan yang terkunci dalam rumah di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang. - Kredit foto: Ihsan bomba
BOMBA berjaya menyelamatkan 27 ekor kucing bersama tuannya, seorang wanita berusia 55 tahun yang terkunci di dalam sebuah rumah di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, Johor.
Dalam kejadian 6 Julai 2021 itu, pihak bomba menerima panggilan jam 2.40 pagi dan insiden tersebut dikatakan berlaku susulan suami wanita berkenaan didakwa mengunci pintu pagar rumah dan keluar bersama kunci tersebut.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II Iszahwati Supardi berkata lapan anggota berserta dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian sejurus terima maklumat.
"Sewaktu tiba di lokasi Jalan Jade Sadu 6, Bandar Seri Alam didapati seorang wanita dan semua kucing peliharaannya terkunci dalam rumah.
"Pihak bomba bertindak memotong mangga pintu menggunakan 'bolt cutter'. Mangsa bersama kucing- kucing tersebut berjaya diselamatkan," katanya yang dipetik laporan Sinar Harian, 6 Julai 2021.
Tambah Iszahwati, operasi tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya. - KitaReporters