Terkini 01 Nov, 2019

[VIDEO] MANGSA KORBAN: PEKERJA VS JENAMA

@mohd. hazli hassan
A Mobile Journalist (Mojo) trainer by profession but force to be a scuba diver for food. Have more than 28 years experience in the media industry. Get more info on mobile journalism and mobilegraphy at www.mymojo.my

Share this
NAMPAKNYA kedukaan bekas pekerja Kumpulan Utusan yang terdiri daripada pelbagai unit dan jabatan, berterusan selepas sesi dialog awam diadakan antara pekerja yang diberhentikan dengan syarikat penglikuidasi sementara yang dilantik syarikat pada Rabu lalu (30/10/2019).


Utusan Melayu (Malaysia) Berhad  (Kumpulan Utusan) telah diletakkan di bawah pembubaran sukarela pemiutang dengan pelikuidasi sementara, UHY Advisory (KL) Sdn. Bhd. (UHY Advisory) pada 8 Oktober lalu yang menyaksikan sekitar 815 pekerja yang masih bertahan selepas program pemisahan sukarela (VSS) dilakukan setahun yang lalu 'dipaksa' meninggalkan pejabat mereka setelah menerima notis pengosongan tidak sampai 24 jam daripada pihak syarikat. 

Rentetan daripada arahan itu, Rabu lalu (30/10/2019) merupakan kali pertama kebanyakan bekas petugas Kumpulan Utusan menjejakkan kaki kembali ke ibu pejabat syarikat terbabit bagi mendengar nasib mereka yang selama ini digantung tidak bertali dalam sesi dialog awam yang dianjurkan oleh UHY Advisory.

Untuk rekod, pekerja-pekerja yang diberhentikan secara tiba-tiba itu tidak dibayar gaji selama dua bulan bermula gaji bagi bulan September ekoran aliran kewangan syarikat yang tenat.

Mengulas mengenai penjualan 70 peratus kepentingan Kumpulan Utusan kepada Aurora Mulia Sdn. Bhd. (Aurora Mulia), Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan yang baru dilantik sebaik sebelum pemberhentian operasi syarikat itu, Abdul Wahid Idris berkata, penjualan jenama akhbar Kumpulan Utusan itu terpaksa dilakukan dalam menyelamatkan sejarah Utusan yang sudah berusia 80 tahun sejak ia ditubuhkan di Singapura.

"Ia adalah keputusan perniagaan. Tidak dapat tidak, kami perlu menyelamatkan jenama itu dahulu berbanding syarikat yang sudah terlalu tenat. 

"Itulah sebabnya, 70 peratus kepentingan Dilof Sdn. Bhd. (Dilof) yang memiliki permit menerbitkan jenama empat akhbar Kumpulan Utusan dijual kepada Aurora Mulia.

"Kini, Dilof dikenali sebagai Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia). Kami sendiri tidak tahu dengan pasti, bila keempat-empat akhbar berkenaan akan diterbitkan semula dan sama ada bekas-bekas pekerja sedia ada akan diambil semula. 
"Semuanya bergantung kepada pengurusan baharu," katanya pada sesi dialog awam bersama bekas kakitangan Kumpulan Utusan bersama UHY Advisory di ibu pejabat akhbar itu di Kuala Lumpur.

Dialog awam itu turut dihadiri Pengurus Besar Sumber Manusia Kumpulan Utusan, Mohd. Nazlan Osman manakala Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan,  Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir masih tidak kelihatan sejak pemberhentian operasi syarikat tersebut pada 8 Oktober lalu.

Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (tengah) bersama-sama bekas ahli lembaga pengarah Kumpulan Utusan,  Datuk Mohd. Azmi Othman (kanan) dan  Datuk Ahmad Fauzi Zahari  


Gambar oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI


Pada dialog awam itu juga Abdul Wahid turut menyatakan bahawa, gaji dua bulan para pekerja Kumpulan Utusan yang tidak dibayar hanya akan dapat dilunaskan selepas proses likuidasi yang dijalankan oleh penglikuidasi tetap yang akan dilantik pada 6 November kelak.

"Saya secara peribadi meminta maaf, tetapi kita perlu melalui proses perundangan selepas penggulungan syarikat, jadi sebarang bentuk bayaran kepada bekas pekerja hanya akan dapat dilakukan selepas program likuidasi aset-aset syarikat dijalankan.

"Tetapi sebenarnya Datuk Aziz (Sheikh Fadzir) boleh mencari dana untuk membayar gaji-gaji yang tertunggak terlebih dahulu jika dia mahu. Boleh sampaikan kepada beliau. Dari segi undang-undang, syarikat dah tak boleh buat apa-apa, memang tidak boleh," katanya. 

Gambar oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI


Dalam perkembangan yang sama, Pengarah Urusan UHY Advisory, Zulkharnain A. Rahim ketika membentangkan pelan penggulungan Kumpulan Utusan turut menunjukkan data bahawa Kumpulan Utusan mempunyai liabiliti yang diisytiharkan sebanyak RM335 juta, manakala anggaran aset hanya RMRM190 juta.

“Apa pun, ini tidak termasuk aset-aset yang melibatkan anak syarikat Kumpulan Utusan,” kata Zulkharnain lagi.

Zulkharnain berkata, mengikut aturan pembayaran, bayaran kepada bank yang bercagar akan diutamakan terlebih dahulu disusuli dengan yuran syarikat penglikuidasi dan diteruskan kepada tunggakan gaji pekerja dengan maksimum pembayaran RM15,000 mengikut Akta Pekerja 1955.

Gambar oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI


"Kemudian barulah bayaran akan disalurkan kepada para pemiutang yang terdiri daripada pampasan penamatan perkhidmatan pekerja, bank tanpa cagaran dan lain-lain termasuk bayaran pampasan VSS," katanya.

Ketika ditanya sama ada selepas proses likuidasi selesai, bekas petugas Kumpulan Utusan diberi jaminan akan mendapat tunggakan gaji dua bulan yang belum dibayar, Zulkharnain berkata: "Kita akan ikut akta untuk menentukannya. Dan semua bergantung kepada syarikat penglikuidasi tetap mana yang akan dipilih." 


Untuk rekod, 6 November ini akan diadakan satu proses pengundian bagi membolehkan syarikat penglikuidasi kekal dilantik untuk meneruskan proses likuidasi Kumpulan Utusan.

Ketika ini difahamkan, kedudukan UHY Advisory masih lagi samar-samar ekoran bekas pekerja Kumpulan Utusan sudah terbahagi kepada beberapa kumpulan yang mempunyai pandangan masing-masing selain kumpulan mereka yang mengambil VSS juga mempunyai pandangan mereka sendiri.

Kumpulan Utusan telah menawarkan VSS kepada seramai 708 pekerja daripada keseluruhan 1,523 orang pekerja pada 30 November tahun lalu. 

Dua minggu lalu, Kementerian Sumber Manusia telah mengarahkan Kumpulan Utusan untuk melunaskan bayaran penuh pampasan VSS kepada pekerja-pekerja terlibat dalam proses pemberhentian tahun lalu, selain perlu membayar gaji dua bulan terakhir iaitu September dan Oktober, sekali gus kepada semua pekerja yang masih dalam perkhidmatan sehingga semalam.

Untuk makluman, sehingga berita ini ditulis, Media Mulia yang dikaitkan dengan bilionair terkenal, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, belum lagi membuat apa-apa tawaran kepada bekas petugas Kumpulan Utusan untuk menghidupkan kembali akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo! Ahad. - KitaReporters



Gambar oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI



You will be interested

SEPANDAI-PANDAI TUPAI MELOMPAT, AKHIRNYA..

Tujuh pelatih CCRC Sg. Ruan, Raub, Pahang meloloskan diri daripada pusat berkenaan, namun empat berjaya diberkas semula dalam masa 24 jam, manakala tiga lagi terus diburu

KEMATIAN SUAMI ISTERI BERUSIA CETUS SPEKULASI

Kebakaran sebuah unit apartment di Taman Meru Impiana di Jelapang dekat Ipoh, Perak hari ini (24/11/2019) telah mengorbankan sepasang suami isteri yang ditemui rentung
Asliza Musa in Terkini 1 year ago

16 ANGGOTA POLIS 'KANTOI' DADAH DI PERAK

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, daripada 431 orang yang telah diperiksa itu, seramai 16 pegawai dan anggota ditangkap atas pelbagai kesalahan termasuk menagih dadah.
Asliza Musa in Terkini 1 year ago

'BERGELUT' TANGKAP ULAR TEDUNG DI SILING

Dalam kejadian di Kampung Batu Talam di Raub, Pahang pada Khamis (20/11/2019) lalu, sebuah keluarga digemparkan dengan kehadiran seekor ular tedung selar di atas siling bilik rumah
Abdul Rashid Abdul Rahman in Terkini 1 year ago

BILA KETUA POLIS DAERAH 'SCAM' MACAU SCAM

Sindiket penipuan Macau Scam pula kena scam apabila individu yang mahu diperdayakan melalui panggilan telefon itu adalah seorang pegawai kanan polis
Asliza Musa in Terkini 1 year ago