Wanita Thailand yang cedera selepas terjun dari tingkat satu sebuah hotel di Setapak. - Kredit foto: Ihsan PDRM
Seorang wanita cedera pada pergelangan kaki kanan setelah bertindak terjun dari tingkat satu sebuah hotel di Taman Setapak, Kuala Lumpur bagi elak dicekup oleh polis.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam pada 5 Julai 2021 itu, wanita berusia 34 tahun berkenaan dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata wanita tersebut antara tujuh individu warga Thailand yang ditahan dalam Op Patuh/Op Noda Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.
"Kesemua yang ditahan berusia di antara 29 hingga 34 tahun. Wanita yang cedera itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
"Polis turut turut merampas 10 keping kondom serta wang tunai RM1,050 daripada individu ditahan," katanya dipetik laporan Sinar Harian, 6 Julai 2021.
Tambah beliau, ketika serbuan dilakukan tiada penjaga premis di hotel tersebut. - KitaReporters