Mimi Loma sewaktu dikunjungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada 7 September 2020. - Kredit foto: FB MAIWP
PELAKON dan penyanyi era tahun1960-an, Mimi Loma, 75, meninggal dunia di kediamannya di
Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Kuala Lumpur jam 2.19 pagi pada 21
Ogos 2021.
Mimi atau nama sebenarnya Aminah Ismail yang merupakan adik kepada kepada Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma dan Allahyarham Mariani Ismail meninggal dunia ketika tidur.
Memetik laporan Berita Harian pada 21 Ogos 2021, anak tunggalnya, Sherina Othman, 48, berkata ibunya tidak sakit tenat cuma alami cirit-birit dan kurang selera makan sejak beberapa hari lalu.
“Arwah agak lemah, apabila diberikan susu akan muntah. Arwah hanya tidur dan tidak buka mata sepanjang hari dan saya fikirkan mungkin terlalu kepenatan disebabkan tidak sihat kerana apabila bangun biasanya segar kembali.
“Tidak sangka itu petanda arwah akan pergi selama-lamanya. Sekitar jam 2 pagi, saya dan anak mula perasan tangan serta kakinya sudah sejuk sewaktu kami memeriksa oksigen serta penafasan arwah.
“Pernafasannya mula perlahan dan saya yang rasa tidak sedap hati memanggil jiran serta rakan.
Kami mengajarnya
mengucap, tidak lama kemudiaan didapati arwah tidak lagi bernafas, pergi dengan
begitu tenang,” katanya.
Allahyarham meninggalkan seorang anak serta tiga cucu dan jenazah Allahyarham Mimi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves.
Terdahulu, pelakon filem Ahmad Albab itu mengalami masalah penglihatan, darah tinggi, tidak mampu berjalan dan sakit belakang selepas terjatuh di rumahnya dua hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri tahun 2020.
Disebabkan terjatuh, tulang pinggul arwah Mimi patah dan melakukan pembedahan, namun sukar untuk berjalan.
Beliau
aktif berlakon dan menyanyi pada era 1960-an dan pernah membintangi filem Ahmad
Albab pada 1968. - KitaReporters