Ismail Sabri (kanan) dikatakan bakal dilantik sebagai Perdana Menteri interim (sementara). - Kredit foto: Bernama
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan khabar angin beliau akan dilantik menjadi perdana menteri interim sekadar satu cubaan untuk memecahbelahkan kerajaan.
Menurutnya,
desas-desus sedemikian tidak seharusnya dilayan dan beliau menafikan bakal dilantik
menjawat jawatan tersebut dalam mengatasi kekalutan politik negara pada masa ini.
“Khabar
angin begini kemungkinan cuba pecah belahkan kerajaan. Lagi pun dalam
Perlembagaan Persekutuan tidak ada istilah interim, perdana menteri interim atau
pun kerajaan interim.
“Khabar angin begini tidak perlu dilayan. Tindakan paling baik adalah menyejukkan, mendamaikan keadaan bukan terlibat melaga-lagakan dan memecahbelahkan,” katanya dipetik oleh laporan Kosmo, 1 Ogos 2021.
Tambah Ismail Sabri, pada masa ini bukanlah waktu sesuai untuk berlaku perpecahan kerana setiap pemimpin punyai tanggungjawab besar bagi membantu rakyat yang sedang menghadapi situasi sukar pandemik Covid-19.
“Tumpuan
perlu diberikan kepada rakyat yang terkesan. Kenapa tidak fokus kepada isu
rakyat dahulu dan yang paling penting pandemik Covid-19 harus selesai segera,”
ujarnya. - KitaReporters