LEBIH banyak bantuan akan disalurkan kepada rakyat selepas ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, ketika pembayaran Bantuan Khas COVID-19 (BKC) mula disalurkan hari ini, Isnin, 6 September 2021.
Dalam sidang video bersama warga Bank Simpanan Nasional (BSN) dari kediamannya di Petaling Jaya khusus bagi meninjau proses pembayaran BKC yang bermula hari ini, Ismail Sabri berkata BKC adalah antara bantuan bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19.
“Harap semua proses pembayaran BKC yang dirancang oleh Kementerian Kewangan berjalan lancar. Semoga tiada perkara tidak diingini berlaku yang boleh sebabkan kelewatan dan sebagainya," katanya seperti dipetik Bernama, Isnin, 6 September 2021.
Ismail Sabri yang masih menjalani kuarantin kendiri sejak 30 Ogos 2021 lepas setelah disahkan kontak rapat pesakit COVID-19 turut menasihatkan warga BSN supaya memastikan penerima BKC yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19.
Turut serta dalam sidang video tersebut ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berada di BSN Putrajaya di Putrajaya dan Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah yang berada di BSN di Bera, Pahang. - KitaReporters