SEJUMLAH 31 menteri dan 38 timbalan menteri akan menghadiri majlis mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan
Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia itu dijadualkan
bermula pada jam 2.30 petang Isnin, 30 Ogos 2021.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah
Iskandariah dijangka turut berangkat ke istiadat tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua
Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri
Mohd Zuki Ali akan menghadiri majlis berkenaan.
Pada Jumaat 27 Ogos 2021 lalu, Ismail Sabri mengumumkan senarai anggota Kabinet baharu pentadbirannya dan menyifatkan barisan ‘Kabinet Berorientasikan
Hasil’ itu adalah pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama "Keluarga Malaysia".
Kabinet kali ini juga menyaksikan tiga bekas menteri pada era Barisan Nasional (BN) kembali membarisi kabinet iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim yang menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan; Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar. - KitaReporters