KEMATIAN sepasang suami isteri yang berusia 70 tahun dalam keadaan yang mencurigakan mencetus spekulasi mengenai punca kebakaran yang membunuh kedua-dua mereka. Sama ada berlaku unsur khianat dan bunuh atau bunuh diri. : KitaReporters.com
Keadaan bahagian dalam rumah sepasang suami isteri yang terbakar dan mengorbankan kedua-dua mereka di apartment Taman Meru Impiana di Jelapang dekat Ipoh.
Kebakaran sebuah unit apartment di Taman Meru Impiana di Jelapang dekat Ipoh, Perak hari ini (24/11/2019) telah mengorbankan sepasang suami isteri yang ditemukan rentung dalam kediaman yang musnah terbakar kira-kira 90 peratus.
Mangsa yang maut adalah lelaki warga Mesir, Kamal Mustafa dan isterinya, Kamariah Talib, yang merupakan wanita tempatan. Kedua-dua mereka berusia lingkungan 70-an.
Ketika ditemui pasukan bomba, keadaan mayat cukup tragis apabila tubuh mereka terbakar sepenuhnya dengan masing-masing ditemuikan di ruang tamu dan pintu masuk bilik air kediaman tersebut.
Difahamkan, kebakaran itu melibatkan dua buah unit aparment milik mangsa yang telah diubah suai menjadi satu unit kediaman.
Anggota bomba membawa mayat seorang daripada mangsa kebakaran sebuah rumah di apartment di Taman Meru Impiana di Jelapang dekat Ipoh, Perak hari ini (24/11/2019).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd. Aziz berkata, siasatan sedang dijalankan dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca kebakaran berikutan penemuan dua buah tong gas berhampiran mayat suami isteri berkenaan.
Malah katanya, pemeriksaan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan mangsa lelaki ada membawa dua tong dipercayai bahan bakar memasuki kediaman tersebut.
"Rakaman CCTV juga menunjukkan terdapat pergerakan mangsa memandu kereta jenis Proton Suprima kira-kira pukul 11 malam, semalam (23/11/2019). Kereta itu bagaimanapun dijumpai terbakar di tepi jalan Hala Jati Meru 12 yang terletak kira-kira 500 meter dari kediaman mereka.
“Berdasarkan rakaman itu juga, mangsa dilihat membawa dua tong dipercayai bahan bakar ketika memasuki kawasan kediaman,” katanya dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini (24/11/2019).
Menurut beliau, mayat suami isteri itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan klasifikasi kes tersebut akan ditentukan berdasarkan laporan berkenaan.
Katanya, setakat ini pihaknya masih belum mengenal pasti motif kejadian itu sama ada khianat dan bunuh atau bunuh diri.
"Mayat kedua-dua mangsa ditemui di ruang tamu dan di depan bilik air. Siasatan awal mendapati terdapat dua tong gas berhampiran mayat mangsa.
"Pemeriksaan juga mendapati terdapat kesan letupan sebelum berlakunya kebakaran yang memusnahkan 90 peratus rumah serta mengorbankan mangsa," katanya. - KitaReporters.com