Antara kesan-kesan kerosakan akibat kejadian kepala air dan banjir kilat di daerah Yan dan Kuala Muda di Kedah pada 18 Ogos 2021. - Kredit foto: Gambar tular
DAERAH Yan dan Kuala Muda kini diklasifikasikan sebagai Kawasan Bencana Tahap Satu ekoran kejadian kejadian ‘kepala air’ dan banjir kilat yang berlaku pada 18 Ogos 2021.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata pengisytiharan dibuat oleh Kerajaan Negeri itu berdasarkan arahan tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20.
"Semua agensi kerajaan dan badan berkanun berkaitan pengurusan operasi bencana kini sedang atur gerak ambil pelbagai langkah bagi pastikan musibah melanda dapat ditangani dengan berkesan.
“Badan-badan sukarela serta pihak swasta yang ingin membantu akan diberi latihan di bawah penyelarasan MKN,” katanya dipetik laporan Harian Metro pada 19 Ogos 2021.
Tambah Muhammad Sanusi, Kerajaan Negeri akan berusaha dengan sebaik mungkin dan melakukan apa sahaja yang perlu bagi memulihkan keadaan dan membantu penduduk terjejas.
Katanya lagi, semua pihak terutama petugas dan sukarelawan yang membantu di lapangan diharapkan sentiasa menjaga diri serta mengambil langkah-langkah sepatutnya bagi kekang penularan Covid-19. - KitaReporters