KEHILANGAN usahawan kontroversi kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali Nur Sajat akhirnya terjawab apabila pihak imigresen Thailand berjaya menahan individu yang dikehendaki itu pada 8 September lalu.
Penahanan itu dilakukan pihak berkuasa negara gajah putih itu selepas mendapat maklumat mengenai keberadaan usahawan kosmetik berusia 36 tahun itu di Bangkok, Thailand daripada pihak berkuasa Malaysia.
Dia ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen, berdasarkan maklumat dikongsikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pihak berkuasa Thailand.
"Pada 4 Jun (2021), pihak imigresen Thailand mengesan lokasi persembunyian Nur Sajat iaitu di sebuah kondo mewah di tengah Bangkok.
"Selepas risikan dan intipan dilakukan, pada 8 September (2021) sekitar jam 6 petang waktu Thailand serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya.
"Hasilnya, Nur Sajat ditahan dan semakan pihak imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia. Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan oleh kerajaan Malaysia," kata sumber pihak polis Malaysia seperti dipetik laporan Harian Metro, 20 September 2021.
Menurutnya, Nur Sajat kemudiannya dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di Thailand.
"Pada 9 September 2021 atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Nur Sajat bagaimanapun dibebaskan pada 10 September 2021 dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga Malaysia," katanya.
Wang jaminan berkenaan dibayar oleh seorang kenalan Nur Sajat yang dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan berkenaan. - KitaReporters