SEORANG anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) didakwa di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu atas pertuduhan membunuh rakan baiknya, Fong Swee Fuan pada 23 Julai 2021 lalu.
Tiada
pengakuan direkodkan dan tertuduh, Ong Chow Lee, 57, sekadar mengangguk faham
sebaik pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku
Muda.
Memetik
laporan Utusan Malaysia, perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bangsal
bersebelahan pondok Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang.
Terdahulu tertuduh
dikatakan bertengkar dan saling mencabar sebelum lelaki berusia 57 tahun itu itu pulang
mengambil selaras senapang patah milik Rela di rumahnya sebelum menembak mangsa.
Dia
kemudiannya melarikan diri dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum
berjaya ditahan oleh polis di Durian Mentangau, Dungun tidak lama kemudian.
Pendakwaan
dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah mengikut
Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 13 Oktober 2021 untuk lantikan peguam. - KitaReporters
GAMBAR hiasan... tertuduh dikatakan bertengkar dan saling cabar-mencabar sebelum lelaki berusia 57 tahun itu itu pulang mengambil selaras senapang patah milik Rela di rumahnya sebelum menembak mangsa.