Gambar hiasan... Kelahiran bayi di Malaysia bagi suku kedua tahun 2021 menurun berbanding tahun lepas. - Kredit foto: Berita Harian
JUMLAH kelahiran bayi di Malaysia bagi suku kedua tahun 2021 ini menurun sebanyak 4.4 peratus iaitu 111,573 berbanding 116,688 kelahiran bagi tempoh sama pada 2020.
Rekod tersebut dilaporkan oleh Perangkaan Demografi pada 11 Ogos 2021.
Mengulas laporan itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bilangan kelahiran bayi perempuan adalah lebih ramai dengan 55,881 orang berbanding bayi lelaki 55,692 orang.
"Selangor mencatatkan kelahiran hidup tertinggi antara negeri-negeri lain iaitu 20,389 kelahiran.
"Dijangkakan berlaku peningkatan mendadak kelahiran bayi susulan kawalan pergerakan semasa Covid-19, bagaimanapun statistik menunjukkan sebaliknya.
"Penurunan jumlah kelahiran di negara ini selari dengan negara lain seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, United Kingdom, Perancis dan Sepanyol," katanya dipetik daripada laporan Bernama, 11 Ogos 2021.
Mohd Uzir menambah, pandemik Covid-19 tidak memberi kesan signifikan kepada jangkaan hayat semasa kelahiran di Malaysia.
"Jangkaan hayat untuk bayi yang lahir pada 2021 dijangka hidup hingga 75.6 tahun, 1.3 tahun lebih lama berbanding satu dekad yang lepas iaitu 74.3 tahun pada 2011," ujarnya. - KitaReporters