Mayat wanita warga tempatan ditemukan dengan kesan terbakar di padang bola di Taman Bidara, Bukit Idaman, Selayang. - Kredit foto: Harian Metro
MAYAT seorang wanita ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan kesan terbakar pada tubuh badan di padang bola Taman Bidara, Bukit Idaman, Selayang pada 5 Ogos 2021.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan itu daripada orang awam kira-kira jam 7.30 pagi lalu bergegas ke lokasi kejadian.
“Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak telah ke lokasi bersama Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia bagi jalankan siasatan.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa merupakan seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang berasal dari Selayang. Hasil semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa datang ke tempat kejadian menaiki sebuah kereta kira-kira jam 1 pagi.
“Mangsa kemudiannya keluar dari kenderaan dan berjalan menuju ke arah padang bola bersama satu objek menyerupai tong plastik,” katanya dipetik laporan Kosmo pada 5 Ogos 2021.
Tambah beliau, polis turut menjumpai barangan peribadi serta barang kemas milik mangsa di tempat kejadian.
Ujar
beliau lagi, hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam
kejadian itu namun siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai
kes mati mengejut. - KitaReporters