POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengenal pasti anggota dan pegawainya yang terlibat dengan masalah keberhutangan tinggi bagi membolehkan bantuan kebajikan bersesuaian disalurkan sekali gus meringankan beban mereka.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, perkara itu perlu dilaksanakan dengan teliti dan serius bagi mengelakkan anggota dan pegawai yang berdepan dengan hutang tinggi itu terjebak dengan perkara tidak berintegriti dan diingini.
“Kami akan tengok dua perkara iaitu pesara polis dan anggota asnaf. Anggota asnaf selalunya terlibat dalam keberhutangan tinggi sebagai contoh dia berhutang kerana anak hendak pergi belajar atau ada musibah menimpa diri dan keluarga.
“Bila berhutang gaji mereka jadi kecil, bila kecil kami kena lihat kebajikan mereka supaya dapat disantuni. Mereka bertugas dalam keadaan yang ‘sensitif’, apabila dalam keadaan seperti itu, kami tidak mahu mereka melakukan perkara yang tidak sepatutnya,” katanya seperti dipetik Bernama, Ahad, 3 Oktober 2021.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Penyerahan Sumbangan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) kepada 20 Pesara PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. - KitaReporters