Tapir jantan ini diselamatkan oleh Perhilitan selepas ditemui orang awam terjatuh ke dalam lubang di kawasan kebun getah di Kesedar Baru Chenulang, Kuala Krai. - Kredit foto: Ihsan Perhilitan
SEEKOR tapir jantan yang terjatuh ke dalam lubang di kawasan kebun getah di Kesedar Baru Chenulang, Kuala Krai diselamatkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.
Operasi
menyelamat tapir dianggarkan seberat 200 kilogram itu dijalankan pada 6 Ogos
2021 oleh 13 anggota Perhilitan Kuala Krai dan Gua Musang itu kira-kira jam
10.30 pagi.
Pengarah
Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, pihaknya
bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima aduan daripada orang awam yang
menjumpai seekor tapir terperangkap dalam lubang.
“Haiwan berkenaan diberi makan dan minum terlebih dahulu sebelum dikeluarkan dari lubang
di kawasan
kebun getah milik seorang penduduk yang dibina bagi tujuan perladangan.
“Operasi menyelamat tamat jam 8.30 malam dan tapir tersebut dimasukkan ke dalam kotak pindah sebelum dibawa ke Taman Negara Pahang (Sungai Relau) untuk dilepaskan ke habitatnya," katanya dalam satu kenyataan pada 7 Ogos 2021.
Tambah
beliau, pemantauan kesihatan oleh Penolong Pegawai Veterinar Jabatan Perhilitan
mendapati tapir itu berada dalam keadaan baik dengan tidak mengalami sebarang
kecederaan.
Sementara
itu, untuk info sebarang aduan boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui
talian hotline, 1-800-88-5151, 019-3885046 (Pengurusan Konflik Hidupan Liar
Negeri Kelantan), e-aduan di laman web, www.wildlife.gov.my atau
kelantan@wildlife.gov.my. - KitaReporters