Dua beranak terselamat selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter di laluan bertingkat Skudai, Johor Bahru. - Kredit foto: Ihsan JBPM Johor.
SEORANG ibu berusia 56 tahun bersama anak perempuannya yang berumur 25 tahun berdepan detik
cemas setelah kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung sedalam 10 meter di
laluan bertingkat Skudai, Johor Bahru.
Dalam kejadian pada 11 Ogos 2021 itu, kedua-dua mangsa selamat dan sebelum insiden tersebut mereka dipercayai dalam perjalanan dari arah Skudai menghala ke Lebuh Raya Pesisir Pantai Iskandar.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Haizrul Rahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut jam 9.31 pagi.
“Sepasukan 10 anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi. Sejurus tiba, didapati sebuah Proton Wira terbalik setelah terbabas dan jatuh ke dalam gaung.
"Ketika anggota bomba tiba, mangsa dan anaknya yang memandu kenderaan berkenaan selamat, sebelum mereka dikeluarkan dan diberi rawatan awal,” katanya ketika dipetik daripada laporan Berita Harian, 11 Ogos 2021.
Tambah
beliau, kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA)
Johor Bahru bagi rawatan lanjut dan operasi tamat jam 10.03 pagi. - KitaReporters