SEORANG pemuzik berusia 50 tahun cedera ditikam pada bahagian perut sewaktu cuba meleraikan
pergaduhan antara jiran dalam kejadian kira-kira 1.15 petang pada 19 Julai 2021
di Permas Jaya, Johor Bahru.
Mangsa yang tinggal di Kuala Lumpur dan pulang ke Johor Bahru setelah kematian bapanya sehari sebelum kejadian ditikam suspek iaitu jiran bersebelahan dengan rumah adiknya.
Terdahulu, pergaduhan tercetus apabila suspek memulakannya setelah tidak berpuas hati dengan jirannya yang dikatakan berbuat bising ketika sedang memasak juadah Hari Raya Aidiladha.
Melihat keadaan semakin tegang, mangsa cuba meleraikan pergaduhan itu namun suspek bertindak menikam mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Johor Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd. Zain mengesahkan kejadian tersebut dan suspek berusia 40-an telah pun ditangkap jam 2.45 petang pada hari yang sama di kawasan sekitar.
“Suspek cederakan mangsa dengan menikamnya gunakan sebilah pisau pada bahagian perut. Suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga 23 Julai 2021 bagi membantu siasatan.
“Manakala mangsa masih ditahan di hospital untuk rawatan dan disahkan doktor berada dalam keadaan stabil,” katanya yang dipetik laporan Utusan Malaysia pada 20 Julai 2021.
Tambah beliau, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. - KitaReporters