Menurut beliau, pihak polis ketika ini sudah mengenal pasti beberapa individu yang tidak bertanggungjawab memuat naik status dalam media sosial dengan memainkan sentimen agama dan perkauman dan tindakan tegas akan diambil.
"Mereka (yang tidak bertanggungjawab) ini memuat naik status dalam media sosial yang jelas tidak tepat dengan niat yang tidak betul dan cuba untuk menyakitkan hati orang ramai, dan kami lihat niat mereka mahu mencetuskan pergaduhan.
"Pihak Jabatan Siasatan Jenayah sudah mengenal pasti (individu terbabit) dan laporan polis sudah dibuat dan mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan dan seterusnya jika kami berpuas hati (ada kes), tindakan akan diambil untuk mendakwa mereka," tegas beliau kepada pemberita dalam satu sidang akhbar khas di Bukit Aman, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Beliau menyatakan demikian ketika mengulas mengenai satu sebaran tidak tepat dalam media sosial yang mengaitkan agama dan perkauman dalam insiden seorang lelaki yang ditembak mati oleh polis selepas membunuh seorang rakan sekerja dan mencederakan seorang yang lain di Pulau Pinang Isnin lalu.
Lelaki berkenaan ditembak mati ekoran cuba menyerang polis dengan dua bilah parang dan sebilah pisau selepas mengamuk di sebuah kilang di Bayan Lepas.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, suspek yang juga pekerja di kilang berkenaan terlebih dahulu menetak mati seorang penyelia wanita berusia 47 tahun dan mencederakan pengarah keselamatan kilang tersebut yang berusia 53 tahun.
Polis yang tiba di tempat kejadian cuba menenangkan suspek namun lelaki itu bertindak agresif dan cuba menyerang anggota polis yang terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.
Mengulas lanjut Abdul Hamid menegaskan, siasatan lanjut pihak polis terhadap suspek berkenaan mendapati beliau telah terpengaruh dengan video-video yang bersifat ganas dari Timur Tengah yang didakwa berlakunya kekejaman terhadap orang Islam di sana.
"Suspek di Pulau Pinang ni datang dari keluarga yang baik, namun telah terpengaruh dengan video-video ganas tersebut yang ditonton dalam media sosial dan mula mempengaruhi arwah untuk melakukan tindakan tersebut," katanya.
Untuk itu, Ahmad Bador mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan hantaran media sosial yang bersifat fitnah serta tidak tepat dan jika gusar, mereka boleh menghubungi polis untuk mendapatkan maklumat lanjut.
"Jangan buat rumusan sendiri, dan perbuatan berkongsi artikel-artikel (bersifat tidak tepat) dan membuat komen-komen tambahan akan menyebabkan mereka ini ditangkap.
"Tidak ada amaran lagi, mereka akan terus ditangkap," tegas beliau. - KitaReporters