Gambar hiasan… Paras air Empangan Bukit Merah masih berada dalam keadaan terkawal bukan seperti didakwa video tular. - Kredit foto: FB Perak Press
PARAS air Empangan Kolam Bukit Merah di Kerian, Perak masih berada dalam keadaan terkawal dengan bacaan paras normal 8.69
meter.
Ahli Dewan Undangan Negeri Gunung Semanggol, Razman Zakaria berkata tiada berlakunya kejadian limpahan air dari empangan tersebut seperti didakwa dalam video tular.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengesahkan video air melimpah sehingga ke paras jalan berhampiran empangan itu hanyalah air hujan yang turun dari bukit dan melintasi jalan raya di situ.
"Air tersebut bukan limpahan Empangan Kolam Bukit Merah. Tiada kejadian seperti itu berlaku dan keadaan air yang bertakung di laluan itu disebabkan keadaan saliran di parit berhampiran yang tersumbat.
“Keadaan itu menyebabkan air melimpah ke jalan utama berdekatan empangan. Paras bahaya empangan ialah 9.14 meter, namun ketika ini masih berada dalam keadaan terkawal atau normal iaitu 8.69 meter,” katanya dipetik laporan Harian Metro, 19 Ogos 2021.
Terdahulu, tular video berdurasi 11 saat dirakam seorang pengguna jalan raya itu menunjukkan keadaan seolah-olah berlaku limpahan air Empangan Kolam Bukit Merah dan menyebabkan jalan utama di kawasan itu dinaiki air.
Keadaan
itu mengundang kebimbangan dalam kalangan orang ramai berhubung keselamatan
mereka. - KitaReporters