Antara daun disyaki daun ketum yang ditemui berada dalam kenderaan dipandu oleh suspek. - Kredit foto: Ihsan PDRM
SEORANG warga emas berusia 66 tahun dicekup oleh polis selepas didapati membawa 24.8 kilogram daun ketum dalam pemeriksaan jalan di Kilometer 8, Jalan Beaufort - Membakut, Beaufort.
Dalam kejadian 12 tengah hari, 27 Julai 2021 itu, suspek ditahan dalam Op Cegah Kemalangan dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek yang memandu sebuah pacuan empat roda ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
"Sewaktu pemeriksaan, polis menemui dua guni besar mengandungi daun disyaki ketum di bahagian tempat duduk belakang. Pemeriksaan fizikal ke atas suspek, tidak menemui sebarang kesalahan.
"Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke IPD Beaufort bersama barang rampasan untuk tindakan selanjutnya. Ujian saringan awal air kencing dijalankan didapati negatif," katanya dipetik laporan Harian Metro, 28 Julai 2021.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya. - KitaReporters