SEORANG wanita ditemukan maut dalam keretanya yang terbalik dalam parit besar berhadapan sebuah kuil di Ladang Maryland, Jalan Batu
Puteh-Sungai Kob, Kulim kira-kira jam 8.30 pagi pada 24 September 2021.
L Hemavathi, 43, gagal
dihubungi serta tidak pulang ke rumah sejak keluar lebih seminggu lalu kerana
mahu ke kuil di Taman Sepilai untuk upacara keagamaan buat mendiang suaminya yang meninggal dunia 13
tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Sazalee Adam berkata
mangsa yang merupakan operator kilang ditemukan di tempat duduk pemandu
dipercayai terperangkap dalam keretanya dalam parit yang dikelilingi semak
berhampiran kawasan ladang sawit.
“Siasatan mendapati mangsa memandu Honda Jazz keluar dari
rumahnya di Kampung Banggol Penyengat, Karangan pada 16 September 2021 lalu. Dia kemudiannya didapati tidak pulang ke
rumah selain telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.
“Bimbang dengan keselamatannya, adik lelaki mangsa
membuat laporan polis berhubung kehilangan kakaknya itu," katanya dalam
satu kenyataan seperti dilaporkan Harian Metro, 24 September 2021.
Tambah beliau, siasatan lanjut polis bersama ahli keluarga mangsa menemukan kereta wanita terbabit dalam parit besar dan khidmat pasukan bomba digunakan untuk membuka pintu kenderaan.
Katanya lagi, berdasarkan siasatan awal didapati kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum terjunam ke dalam parit.
"Pemeriksaan lanjut mendapati barang kemas dan pakaiannya juga lengkap. Tiada sebarang unsur jenayah ditemui, mayatnya dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk bedah siasat,” ujarnya. - KitaReporters