UMUM mengetahui mengenai kehebatan, keunikan dan keaslian seni kraf tangan di Malaysia yang mampu mengangkat nama negara ke pentas antarabangsa.
Maka tidak hairanlah apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan penuh kesantunan berkongsi kepada dunia mengenai usaha kerajaan dalam memelihara dan memulihara khazanah seni itu pada 7th ASEAN Traditional Textiles Symposium 2019 di Yogjakarta, Indonesia pada Selasa (5/11/2019) lalu.
Menerusi simposium yang bermula pada 5 hingga 8 November itu, baginda bertitah mahu berkongsi khazanah kraf dan seni di Malaysia kepada seluruh dunia.
"Saya berbangga dengan dengan khazanah kraf dan seni negara saya. Kerajaan Malaysia sejak dahulu lagi begitu mengambil berat dalam menjaga seni warisan seperti tenun, songket dan batik.
"Atas dasar itu kerajaan menubuhkan institusi pendidikan seperti Institut Kraf Negara (IKN) dan di Pahang khususnya, Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD) agar ia dapat diwarisi generasi akan datang," titah baginda pada simposium yang dihadiri peserta dari pelbagai negara.
Seramai 23 pakar tekstil tradisional dari 16 buah negara hadir termasuk Amerika Syarikat, Australia, Korea Selatan, Jepun, China, Filipina, Brunei, Laos, Vietnam dan Kemboja.
Sebaik sahaja bertitah baginda mendapat tepukan cukup gemuruh daripada para peserta yang turut memuji usaha baginda dalam mengangkat seni kraf negara terutama tenun sehingga diberi pengiktirafan sebagai Tenun Pahang Diraja.
Apa yang lebih membanggakan apabila usaha baginda dan kerajaan mengumpul semua teknik serta corak seni kraf untuk didokumenkan.
Semua itu dilaksanakan agar menjadi rujukan kepada para pelajar dan generasi muda serta akan datang dalam usaha memartabatkan seni kraf warisan negara.
Perkongsian baginda menerusi sebuah video ringkas titah baginda turut mendapat perhatian warganet yang berbangga dengan usaha baginda.
"Baginda telah menaikkan nama Malaysia pada pentas antarabangsa menerusi seni kraf tangan," komen seorang pengikut baginda di laman Twitter peribadi Tunku Azizah.