POLIS Seremban menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan selepas satu video tular dalam Facebook memaparkan perlakuan seorang lelaki yang kelihatan kecewa serta tertekan akibat penularan pandemik Covid-19.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd.
Said Ibrahim berkata, menerusi video berdurasi 16 minit tiga saat itu turut
memaparkan perlakuan lelaki tersebut yang mendakwa memberi minum racun kepada
isteri, anak serta dirinya sendiri sebagai salah satu cara untuk mengawal
tekanan.
“Satu laporan polis telah diterima berkaitan video
yang tular itu kerana boleh menjadi ikutan dan dorongan yang tidak baik dalam
masyarakat dan unsur penganiayaan terhadap kanak-kanak.
“Hasil semakan lanjut mendapati kejadian tersebut
berlaku di kawasan Seremban,” katanya seperti dipetik Kosmo pada Khamis, 15 Julai 2021.
Susulan laporan itu polis telah menahan pasangan suami
isteri tersebut yang masing-masing berusia 29 tahun di sekitar Seremban
kira-kira 10.50 malam Rabu, 14 Julai 2021, manakala isterinya ditahan pada pukul 3.15
pagi tadi (15 Julai 2021).
Sehubungan itu, Mohd. Said, menasihatkan masyarakat
agar tidak mengambil apa-apa tindakan yang boleh mencetuskan ketidaktenteraman
awam kerana boleh diambil tindakan di bawah undang-undang.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. - KitaReporters