Alvin Wee menunjukkan hadiah kemenangan katogeri Pencapaian Cemerlang Adunan Bunyi yang dimenanginya di Anugerah Cinema Audio Sodiety (CAS) Los Angeles, Amerika Syarikat. - Kredit foto: Mykmu.net.
PENGORBANAN seorang anak muda kelahiran Kuching, Sarawak yang berkelana selama hampir sedekad di bumi asing untuk mengembangkan bakat dalam bidang seni kreatif berbaloi selepas sentuhannya melalui filem animasi Encanto mendapat pengiktirafan apabila mengondol trofi Pencapaian Cemerlang Adunan Bunyi pada edisi ke-58 Anugerah Cinema Audio Society (CAS) atau Persatuan Audio Sinema di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 19 March 2022 lalu.
Alvin Wee atau pemilik nama sebenar Alvin Wee Pei Yee, 34, anak sulung daripada dua adik beradik yang mempertaruhkan hasil sentuhannya dalam animasi Encanto terbitan Disney, berjaya mengetepikan cabaran empat calon lain termasuk Sing 2 terbitan Illuminations, The Mitchells vs Machines (terbitan Netflix), Luca (terbitanPixars), dan Raya And The Last Dragon (terbitan Disney) untuk membawa pulang tersebut.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan
Anugerah Cinema Audio Society merupakan satu acara yang mengiktiraf runut bunyi terbaik yang dihasilkan untuk produksi televisyen dan filem pada peringkat antarabangsa dan Alvin mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang berjaya merangkul trofi tersebut setakat ini.
"Ia adalah persaingan yang sangat sengit dan individu yang bersaing adalah mereka yang terbaik ditawarkan oeh industri dan saya tidak mengambil mudah dengan pencalonan lain.
"Jauh di sudut hati, keinginan menempa nama dan dihargai pasti ada dan sudah tentu saya bangga apabila dipilih sebagai pemenang," katanya memetik laporan The Borneo Post.
Dalam masa sama, bagi Alvin Wee, pencapaiannya itu juga merupakan kemenangan buat rakyat Malaysia yang memperjuangkan industri kreatif dan berharap kejayaan tersebut mampu menyuntik motivasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang industri kreatif.
Alvin mula bergiat dalam bidang pengadunan muzik latar selepas menamatkan pengajian dalam jurusan program muzik di Berklee College of Muzik di Boston, Amerika Syarikat.
Perjalanan kerjaya Alvin semakin menyerlah selepas diberi peluang menjadi pembantu penerbit dan bekerjasama dalam proses penerbitan lagu dengan beberapa nama besar seperti Bruno Mars, Katy Perry, Rihanna dan Beyonce.
Sementara sentuhan magis beliau alam penerbitan filem termasuk filem Kingsman 2, The Golden Circle, Kung Fu Panda 3, The Zookeeper's Wife, 13 Hours, The Soldiers of Benghazi dan Eddie the Eagle.
Alvin yang turut berkongsi keterujaannya menerusi hantaran dalam Instagramnya menyatakan kemenangan tersebut begitu bermakna kerana dia telah melakukan yang terbaik untuk menjadikan impiannya sebagai satu kenyataan.
"Bekerja dengan artis tersebut cukup mengujakan kerana semua tenaga kerja yang terlibat dalam produksi seperti penerbit dan penulis lagu sangat berbakat selain rajin bekerja serta sentiasa melakukan eksperimen bagi memastikan kualiti muzik terulung dapat dihasilkan.
"Saya bercadang untuk pulang ke Malaysia akhir tahun ini untuk menganjurkan majlis resepsi perkahwinan saya yang tertangguh akibat penularan Covid-19. Namun saya masih ada projek yang terpaksa disiapkan termasuk single untuk beberapa artis," katanya yang berkahwin dengan pilihan hatinya yang berasal dari Toronto, Canada, Leah Dennis. - KitaReporters
Alvin Wee bersama isterinya, Leah Dennis ketika menghadiri majlis Anugerah Cinema Audio Society (CAS) di Los Angeles, Amerika Syarikat.- Kredit foto : Gettyimages.