Politik & Negara 12 Jul, 2024

Abe Mat Ganu| 200,000 pesara GLC nantikan pembelaan PM! Hanya terima pencen di bawah RM200 sebulan!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.-komunitimadanijertih@gmail.com

Share this


PENJAWAT Awam negara ini tidak sabar untuk mendengar berita gembira mengenai kenikan gaji yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum pembentangan Belanjawan 2025 Oktober ini. 

Malah golongan pesara juga turut ternanti-nanti adakah mereka akan menerima tempias daripada pengumuman penyelarasan gaji baharu tersebut.

Pada 1 Mei 2024, Perdana Menteri mengumumkan penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus, kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, bermula pada 1 Disember 2024.

Sudah tentu pengumuman oleh Perdana Menteri nanti akan melegakan 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara.



Bagaimanapun, tidak ramai masyarakat yang mengetahui dengan nasib yang menimpa 200,00 golongan pesara Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang diswastakan pada era 1980-an. 

Ini kerana mereka agak terpinggir dan tersisih selepas jabatan tempat mereka bekerja diswastakan apabila menerima pencen agak rendah berbanding rakan mereka yang terus berada dalam kerajaan.

Pesara terbabit adalah bekas  bekas kakitangan Jabatan Telekom Malaysia (Telekom Malaysia Berhad), Jabatan perkhidmatan Pos (Pos Malaysia Berhad), Lembaga Letrik Negara LLN (Tenaga Nasional Berhad atau TNB), Keretapi Tanah Melayu (Keretapi Tanah Melayu Berhad atau KTMB), North Port, PLUS, Malaysia Airport dan beberapa agensi lain.

Mungkin ramai yang tidak percaya ada dalam kelangan pesara GLC terbabit menerima pencen kurang daripada RM200 sebulan menyebabkan kehidupan mereka boleh dikategorikan dalam kumpulan E-Kasih.


Mohamed Shafie BP Mammal


Sehubungan itu, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) gabungan Kesatuan Sekerja yang menjaga pesara terbabit pernah merayu Perdana Menteri membantu menyelesaikan isu kadar pencen pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang diswastakan pada 1980-an. 

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal mendakwa, lima perdana menteri sebelum ini gagal berbuat demikian walaupun pihaknya telah menghantar 10 memorandum dalam tempoh 20 tahun lalu.

Menurutnya, rata-rata pesara terbabit menerima pencen serendah RM150 sebulan dengan kadar kenaikan dua peratus setahun berdasarkan tangga gaji diterima ketika zaman berkenaan.

“Dalam usaha terkini, UNI-MLC telah menulis surat untuk perhatian Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu golongan pesara terbabit. Kami meletakkan harapan agar Perdana Menteri ke-10 akan mengambil satu pendekatan positif dan konkrit bagi menyelesaikan isu kadar pencen rendah ini,” katanya.

Mohamed Shafie berkata, pihaknya meminta kerajaan memikirkan cara terbaik bagi membantu mereka yang merupakan bekas kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Pos Malaysia Berhad, North Port, PLUS, Malaysia Airport dan beberapa agensi lain.

Ujarnya, pesara itu tergolong dalam kumpulan B40 yang kini sangat terbeban dengan kenaikan dan peningkatan kos sara hidup masa kini.

Tidak hairanlah, ramai pesara terbabit terpksa bekerja semula sama ada menjadi pengawal keselamatan atau pemandu teksi demi mencari sesuap nasi untuk menyara hidup keluarga.

“Kami merayu kerajaan semasa untuk melihat dan meneliti perkara ini, sekali gus membawa penyelesaian positif selaras dengan dasar Malaysia Madani,” katanya.



Di bawah dasar pengswastaan ketika itu, ramai pekerja memilih untuk menyertai syarikat yang diswastakan kerana tertarik dengan tawaran gaji lumayan serta mempunyai bonus tahunan yang tinggi, sedangkan kakitangan kerajaan tidak diberikan bomus tahunan seperti sekarang. 

Bagi mereka yang memilih Skim Ala Kerajaan tempoh dan gaji akhir semasa berkhidmat dengan syarikat akan diambil kira bagi tujuan pengiraan pencen dan ganjaran, manakala bagi ‘Skim Syarikat’ pula akan menawarkan gaji serta faedah yang lebih lumayan tetapi tempoh dan gaji akhir sewaktu berkhidmat dengan syarikat tidak diambil kira bagi tujuan pengiraan pencen dan ganjaran. Demi memelihara prinsip kesamarataan kepada semua pesara.

Manakala, bagi pesara yang memilih Skim Ala Kerajaan, mereka memperoleh hanya satu faedah persaraan (pencen, ganjaran, wang tunai gantian cuti rehat dan faedah perubatan) berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan dengan kerajaan termasuk tempoh perkhidmatan dengan syarikat.

Bagi pesara yang memilih Skim Syarikat pula, mereka memperoleh dua faedah iaitu faedah persaraan (pencen, ganjaran, wang tunai gantian cuti rehat dan faedah perubatan) berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan dengan kerajaan serta faedah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan dengan syarikat.

Masalah pesara GLC terbabit pernah dibangkitkan di Parlimen oleh seorang wakil rakyat pembangkang yang mencadangkan agar kerajaan menaikkan kadar pencen pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak kurang daripada RM500 sebulan.



Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) berkata, ada dalam kalangan pesara GLC seperti TNB, KTMB, Telekom Malaysia dan Pos Malaysia hanya menerima pencen kurang RM200 sebulan. 

“Saya ingin merujuk isu berkait kadar pencen rendah pesara agensi kerajaan yang diswastakan pada tahun 80-an dan 90-an. Pesara syarikat GLC seperti TNB, Telekom, Pos, KTMB dan lain-lain menerima bayaran pencen rendah.

“Ramai dalam kalangan mereka hanya menerima jumlah pencen amat sedikit iaitu bawah RM200 sebulan. Saya pohon kerajaan pertimbangkan untuk menambah kadar bayaran pencen bulanan mereka kepada sekurangnya RM500 sebulan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Hassan berkata, ada pesara GLC terpaksa bergantung kepada sumber pendapatan lain untuk meneruskan kehidupan kerana bayaran pencen diterima tidak mencukupi untuk menyara keluarga.

Menjadi harapan golongan pesara GLC berkenaan agar Pernana Menteri tidak meminggirkan nasib mereka malah akan turut menyentuh dan memberi perhatian sama rata dalam belanjawan 2025. - KitaReporters

17
11
0
11
1
You will be interested