Politik & Negara 21 Sep, 2025

Maju Johor! Perkukuh kepimpinan negeri! Johor jalin kerjasama strategik dengan Universiti Oxford!

@mohamed sa'ari
Minat bidang penulisan sejak di bangku sekolah. Masih proses belajar.

Share this

Kerajaan Negeri Johor terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperkukuh daya kepimpinan serta keupayaan tadbir urus kerajaan negeri.


University of Oxford (Oxford Universiti). - Kredit foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi.


Onn Hafiz Ghazi menyerahkan cenderahati berlatar belakang peta negeri Johor kepada salah seorang wakil pihak Universiti Oxford. - Kredit foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi.


Sehubungan itu, Johor menjalin kerjasama strategik bersama University of Oxford (Universiti Oxford), khususnya Blavatnik School of Government yang merupakan salah sebuah institusi ternama dunia dalam bidang dasar awam dan kepimpinan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada usaha melahirkan barisan pemimpin berwawasan, berintegriti dan berpandangan global, seiring aspirasi menjadikan Johor sebagai negeri maju dan berdaya saing.

“Blavatnik School of Government merupakan sebuah institusi tersohor dunia yang telah melahirkan ramai pemimpin, pembuat dasar dan penyelidik berimpak tinggi. 


Delegasi Johor bersama Onn Hafiz (empat dari kiri)  merakam gambar kenangan berlatarbelakang Blavatnik school of Government. - Kredit foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi. 
Blavatnik School of Government. - Kredit foto: arquitecturaviva.com

"Semoga lawatan pihak kami ke institusi ini menjadi titik tolak dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan Johor dengan rakan strategik global,” katanya dalam satu hantaran dalam Facebook beliau pada 19 September 2025.

Untuk rekod Blavatnik School of Government yang ditubuhkan pada 2010 terkenal sebagai salah satu pusat utama dunia dalam melatih pembuat dasar dan pemimpin masa depan. 

Antara graduannya termasuk pegawai tinggi kerajaan, penasihat dasar antarabangsa serta pemimpin NGO dari lebih 80 negara.

Institusi ini juga pernah menjadi rujukan kepada beberapa negara dalam merangka strategi dasar awam, termasuk bidang kesihatan, pendidikan, ekonomi digital dan tadbir urus inklusif.


Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua dari kanan) ketika memperkata sesuatu kepada wakil  Oxford of University. - Kredit foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi.

Menurutnya lagi, inisiatif ini juga menjunjung titah Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail, yang juga pemangku Sultan Johor, yang menekankan kepentingan pegawai kerajaan negeri memperoleh latihan dan pengalaman mencukupi agar dapat terus menyumbang kepada pembangunan Johor.

Onn Hafiz menambah, pertemuan dengan pihak Blavatnik turut membuka ruang untuk Johor mendapatkan pandangan daripada tokoh akademik berhubung dasar berkesan, kepimpinan berwawasan dan tadbir urus inklusif. 

Pada masa sama, Oxford juga berkongsi pengalaman mereka dalam merangka program eksekutif yang berupaya memperkukuh keupayaan pembuat dasar, penjawat awam dan kepimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Johor.


Kegembiraan jelas tergambar diwajah Onn Hafiz dan wakil  Oxford of University ketika lawatan delegasi kerajaan Johor ke universiti tersebut. -Kredit foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi.
Langkah itu disambut positif oleh warga maya. Menjengah dalam ruangan komen dalam laman sosial, rata-rata memuji inisiatif berkenaan dan menganggapnya sebagai satu permulaan baik untuk melahirkan pemimpin berkualiti di Johor. 

Seorang pengguna, Besi Padu, menulis: “Langkah ke depan membawa rakyat Johor kepada intelektual. Biar juga seiring dengan perlembagaan dan agama.”

Sementara itu, Elmi Basir pula menyatakan: “Satu pendekatan dan pendedahan baharu bagi pegawai-pegawai di Johor untuk membina Maju Johor lebih sukses.”

Dengan jalinan strategik seperti ini, Johor bukan sahaja berpeluang meningkatkan kapasiti kepimpinan pentadbirnya, malah mampu menjadi model negeri maju yang makmur rakyatnya serta teladan kepada negeri-negeri lain di Malaysia. - KitaReporters


Keadaan di salah satu ruangan perpustakaan di Oxford of University. - Kredit foto: Wikipedia

9
16
0
6
0
You will be interested