Isu pembinaan Patung Mazu yang menjadi perbualan mutakhir ini sudah dibincangkan sejak 15 tahun yang lalu lagi.
Pelbagai pihak telah membantah pembinaan patung tersebut kerana ia menyentuh sensitiviti agama dan mengganggu gugat keharmonian agama dan suku kaum di Sabah.
Kita perlu meneliti semua sejarah dan latar belakang Kudat yang telah melahirkan beberapa tokoh pejuang yang berusaha melepaskan Kudat daripada diganggu serta dipengaruhi budaya luar.
Kudat adalah sebuah daerah yang mempunyai penduduk Islam sebagai majoriti.
Sejarahnya ia adalah pusat penempatan British yang pertama sekitar tahun 1773 iaitu lebih awal daripada Pulau Pinang (1786), Singapura (1819) manakala Melaka (1824).
Namun, penempatan tersebut diserang dan dimusnahkan oleh tokoh pejuang Datu Tating semasa peristiwa pertempuran di Pulau Balambangan pada 5 Mac 1775.
Kemudian pada era tahun kemerdekaan pula, tokoh yang disanjungi Almarhum Tun Datu Mustapha Datu Harun yang berasal daripada Kg. Limau-Limauan, Kudat juga merupakan pejuang awal dalam menentang pendudukan Jepun dan terlibat secara langsung dalam proses kemerdekaan ini.
Pada masa dahulu, Kudat merupakan sebuah Pusat Pentadbiran Pertama Sabah sebelum berpindah ke Sandakan dan Jesselton (Kota Kinabalu).
Sepanjang laluan menuju ke Kudat dari Kota Kinabalu, kita akan melalui daerah Tuaran, Kota Belud dan Kota Marudu. Laluan ini adalah laluan bersejarah yang merupakan medan perjuangan tokoh-tokoh hebat yang menentang British dan menyumbang kepada kemerdekaan Negeri ini.
Nama-nama hebat seperti Panglima Ali, Imam Syahbandar (Tuaran), Embo Ali, (Kota Belud) dan Sharif Osman (Kota Marudu), telah berjuang sehingga ke titisan darah terakhir dalam mempertahan kedaulatan agama dan bangsa Negeri ini. Seterusnya keturunan mereka lahir dan tinggal di laluan perjuangan ini.
Melihat kepada sejarah penting ini, adalah merupakan satu pengkhianatan kepada tokoh-tokoh ini dengan membawa elemen luar yang berunsurkan agama dan budaya asing ke dalam Kudat semula walaupun atas dasar pelancongan sekalipun.
Ironinya kawasan-kawasan inilah yang mundur dari segi pembangunan dan paling ramai penduduk miskin. Mereka tidak dapat menikmati kemudahan asas yang baik dan selesa sebagai warga merdeka.
Sepanjang laluan perjalanan daerah-daerah ini memerlukan kemudahan infrastruktur asas yang baik dan selesa terutama sumber bekalan air bersih, jalan raya yang rata, bekalan elektrik yang tidak terganggu dan prasarana perniagaan untuk peningkatan sosioekonomi yang melibatkan peniaga-peniaga kecil.
Arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jelas mengarahkan untuk tumpu pada usaha menoktahkan senarai penduduk miskin dan miskin tegar. Seharusnya usaha ini diberi keutamaan untuk mengurangkan jurang kemiskinan yang memberikan impak besar kepada aliran pembangunan ekonomi Negeri dan Negara ini.
Apa yang boleh disimpulkan di sini adalah sebelum membuat keputusan untuk mendirikan patung Mazu ini, pihak kerajaan perlu mempertimbang dahulu perasaan majoriti penduduk yang tinggal di sepanjang laluan bersejarah ini.
Semangat perjuangan tokoh-tokoh yang disebutkan tadi perlulah diangkat sebagai tatapan dan teladan generasi muda agar dapat dihayati perjuangan generasi terdahulu dalam mempertahankan negeri ini.
Cadangan seperti laluan kereta api, pelabuhan dan paip gas ke Kudat patut diutamakan untuk menarik pelabur-pelabur asing ke kawasan utara Sabah yang rata-ratanya amat memerlukan pembangunan dan penambahan peluang pekerjaan.
Menangani masalah air sepatutnya juga menjadi senarai tindakan utama kerana hal ini sudah menjadi masalah krisis dalam kalangan rakyat Sabah.
Masalah jalan raya tidak terkecuali daripada masalah utama Sabah.
Pelancong-pelancong dari segenap penjuru negara dan rantau Asia datang melancong ke Sabah, tetapi dipersembah jalan raya yang teruk dan berlubang serta rumah inap (homestay) yang mengalami gangguan bekalan air. Situasi ini akan menjejaskan nama Sabah sebagai senarai tempat pelancongan di mata dunia.
ABIM Sabah mengharapkan agar segala perkara yang telah disebutkan di atas mendapat pertimbangan Kerajaan Negeri sebelum membuat keputusan tentang pembinaan patung Mazu yang sudah menjadi isu kontroversi selama 15 tahun ini.
MOHD NUR HILMIE MILUS
Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah