Politik & Negara 04 Dec, 2025

Ingin bersua muka dengan PM, Jemaah Menteri? Jom ke Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku di Putrajaya!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di Dataran Putrajaya yang bermula 5 hingga 7 Disember 2025 menjadi platform terbaik buat khalayak untuk lebih dekat dengan kerajaan.

Malah program selama tiga itu juga menjadi pentas buat rakyat bersua muka dengan pucuk pimpinan negara yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Kabinet.


Sebahagian pekerja giat melakukan persiapan menjelang program bermula Jumaat.

Program berskala nasional itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Ketua Komunikasi Korporat PACU, Sapian Mamat berkata, program berkenaan menghimpunkan pencapaian kerajaan, inisiatif dasar dan manfaat untuk rakyat dalam satu platform terbuka.
“Konvensyen pula lebih substantif kerana ia mengumpulkan pemikir dalam kalangan penjawat awam dan pemain industri untuk membincangkan hala tuju perkhidmatan awam,” katanya ketika memberi taklimat media dan meninjau persiapan terakhir program di Dataran Putrajaya pada Selasa 3 Disember.
Beliau berkata, pemimpin nombor satu negara dan Jemaah Menteri dijadual turun bertemu rakyat pada hari ketiga program bermula jam 11 pagi.

“Jadi orang awam yang ingin berjumpa dengan barisan kepimpinan tertinggi negara boleh datang pada hari Ahad (7 Disember 2025),” katanya.


Sapian Mamat ketika ditemu bual media mengenai persiapan akhir Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025. - Kredit FB PACU.

Menurut Sapian, program yang disasarkan menjadi tumpuan lebih 300,000 pengunjung itu merangkumi lapan segmen utama iaitu Ukhuwah Rakyat Madani, Belia Madani, Produk Rakyat Madani, Kesejahteraan Madani, TVET dan STEM-AI, karnival mini pelancongan, ASEAN serta hubungan antarabangsa.

“Tahun ini, kita mencatat banyak rekod baik di dalam negara, rantau ASEAN dan peringkat antarabangsa. Program Rancakkan Madani ini mengumpulkan semua elemen tersebut supaya orang awam boleh menyaksikan sendiri pencapaiannya,” ujarnya.

Beliau menambah, pengunjung juga berpeluang untuk menyaksikan persembahan artis popular tanah air  termasuk penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang akan memeriahkan program pada hari ketiga.
"Program akan turut diserikan dengan Malam Gema Qalbi yang akan menyampaikan hiburan berunsur kerohanian," katanya.

Sapian (tengah) memberi penerangan mengenai program di Dataran Putrajaya.
Sapian berkata, lebih 30 ruang perkhidmatan kerajaan disediakan bagi membolehkan rakyat mendapatkan maklumat secara langsung daripada pegawai kementerian dan agensi.
“Ini ruang komunikasi antara orang awam dan agensi kerajaan. Kalau ada persoalan, inilah peluang untuk bertanya sendiri kepada penjawat awam. Manfaat 2025 serta rangka awal Belanjawan 2026 turut dipersembahkan kepada rakyat.
“Kita juga akan ada Jualan Rahmah dan Jualan Kembali Ke Sekolah menjadi antara tarikan utama apabila industri terpilih menawarkan potongan harga selepas berkoordinasi dengan KPDN,” katanya lagi.
Selain itu, program turut menampilkan pameran aset kerajaan secara statik, perkhidmatan kesihatan, pameran TVET dan STEM-AI, karnival kerjaya, pengedaran topi keledar baharu serta kemudahan kiddo care selama dua jam pertama untuk ibu bapa yang membawa anak kecil.

Dua timbalan perdana menteri akan menyertai Forum Kelima Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam di Putrajaya.
Bagi pengunjung yang membawa kenderaan atau menggunakan pengangkutan awam, Sapian berkata, kemudahan telah disusun bagi mengurangkan kesesakan.
“Kami galakkan pengunjung menggunakan perkhidmatan awam. Shuttle bus disediakan dari beberapa lokasi 'park and ride' seperti Presint 11, 15, 8 dan 9. 

"Putrajaya juga ada stesen MRT dan ERL. Parkir di Presint 2, 4 dan 5 semuanya dalam jarak berjalan kaki,” katanya.

Antara tarikan tambahan ialah jualan agro, jualan barangan sukan, Temasya Kopi, NADI E-Sukan Madani, agihan biji benih dan anak pokok, perkhidmatan tukar minyak enjin motosikal percuma, gunting rambut percuma serta jualan trak makanan.
Penganjur turut menawarkan 60 hadiah cabutan bertuah, termasuk hadiah utama sebuah motosikal Modenas 150cc dan pelbagai barangan elektrik.
Program Rancakkan Madani akan dibuka dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala Ahad dari 9 pagi hingga 6 petang. – KitaReporters

15
11
0
11
0
You will be interested