Himpunan "March for Humanity" (Perarakan untuk Kemanusiaan) membabitkan seramai 300,000 peserta di Lang Park, Sydney pada 3 Ogos 2025 mencatat sejarah baru di bumi Australia apabila mereka berarak melintasi Sydney Harbour Bridge ke pusat bandar.
Ini merupakan perarakan terbesar di Sydney dalam beberapa tahun walaupun berlangsung cuaca buruk. Ia dianjurkan oleh Palestine Action Group Sydney, dengan sokongan lebih 100 agensi kemanusiaan dan tokoh masyarakat,
Himpunan dan perarakan itu bagi mendesak gencatan senjata segera bagi membolehkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza, sekali gus menghentikan tembok sekatan Israel terhadap wilayah berkenaan.

Seramai 14 orang meninggal akibat kebuluran dalam tempoh 24 jam terakhir; angka kematian ketiadaan makanan meningkat kepada 147 termasuk kanak-kanak. - Kredit gambar Reuters
Selepas Lang Park di Sydney, Himpunan Perdana Nasional: Malaysia Bangkit Untuk Gaza akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 9 Ogos 2025. Ia bagi menyampaikan suara rakyat negara ini berkaitan kekejaman rejim Israel di Gaza.
Himpunan ini bakal menjadi manifestasi suara rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang politik, agama atau kaum untuk menyatakan pendirian tegas menentang kezaliman rejim Zionis Israel dan solidariti tanpa syarat terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Pengerusi Humanity for Gaza (Kemanusiaan untuk Gaza atau H4G), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata himpunan itu mengemukakan beberapa tuntutan sebagai mesej jelas rakyat Malaysia kepada dunia.

Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz
"Kita mahu menghentikan segera pembunuhan dan kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin serta memutuskan segala bentuk hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Israel dan sekutunya.
"Tuntutan lain termasuk mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan komuniti antarabangsa bertindak tegas serta berkesan terhadap kekejaman yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, himpunan itu turut menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai kemerdekaan sepenuhnya.

Perarakan untuk Kemanusiaan di Lang Park, Sydney mendesak gencatan senjata segera bagi membolehkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza. - Kredit gambar Dailymotion
"Semua pimpinan utama parti politik tanah air turut memberi sokongan penuh terhadap penganjuran himpunan berkenaan.
"Kehadiran pemimpin pelbagai latar belakang itu diyakini mampu menjadi isyarat jelas kepada dunia bahawa Malaysia bersatu dalam solidariti terhadap Palestin.
"Kami menganggarkan satu juta orang akan menghadiri himpunan ini secara fizikal dan dalam talian sebagai simbol solidariti berterusan terhadap Palestin," katanya.
Katanya, himpunan dijadual berlangsung dari jam 4 petang hingga 11 malam dengan dua sesi utama membabitkan pelbagai bentuk pengisian yang menzahirkan solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.

Himpunan 300,000 peserta di Lang Park pada 3 Ogos 2025 mencatat sejarah baru di bumi Australia apabila mereka berarak melintasi Sydney Harbour Bridge ke pusat bandar. - Kredit gambar Dailymotion
"Antara pengisian yang dirancang termasuk ucapan mewakili pelbagai sektor seperti kemanusiaan, pendidikan dan belia, selain persembahan istimewa daripada anak-anak Palestin yang berada di negara ini.
"Turut dijadualkan adalah ucapan tokoh-tokoh agama, sesi tazkirah serta seruan solidariti oleh wakil pelbagai pertubuhan, menjadikan himpunan itu bukan sekadar protes, tetapi pentas penyatuan suara rakyat menentang kezaliman rejim Zionis," katanya lagi.
Beliau merayu rakyat negara ini bergerak dalam satu langkah dan tekad, menjadikan Dataran Merdeka sebagai medan aman perjuangan rakyat Malaysia bagi menzahirkan suara nurani bangsa yang bebas, berprinsip dan perikemanusiaan.

Gambar ini merakam keadaan sebenar dan terkini di Gaza sepanjang musim panas 2025, wajah-wajah manusia lemah yang bergantung sepenuhnya kepada bantuan. - Kredit gambar Reuters
Sementara itu, sekatan bantuan Israel sejak Mac 2025 menyebabkan bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas lain tidak dapat memasuki Gaza. Malah, banyak infrastruktur makanan seperti kilang roti dan pusat simpanan makanan musnah.
Menurut laporan WHO dan agensi kemanusiaan, sebanyak 500,000 hingga sejuta orang tidak berdosa iaitu satu perlima penduduk Gaza berdepan risiko kebuluran atau kelaparan jika bekalan makanan tidak sampai kepada mereka dalam beberapa bulan lagi.
Lebih daripada 66,000 kanak-kanak di Gaza menghidap kekurangan makanan dan zat yang akut; situasi semakin parah setiap hari. Malah, sebahagian besar penduduk berpuasa berhari-hari kerana tiada makanan. - KitaReporters
