
PACU dalam kenyataannya pada Isnin, 8 Disember 2025 menyifatkan sambutan itu sebagai bukti kesediaan rakyat untuk mendekati dan menilai pencapaian inisiatif kerajaan secara terus.
“Jumlah pengunjung yang melebihi setengah juta ini menunjukkan bahawa rakyat ingin melihat sendiri hasil pembaharuan Kerajaan Madani.
"Ia satu isyarat jelas bahawa pendekatan turun padang kerajaan diterima baik,” menurut kenyataan PACU tersebut.

Program itu turut merekodkan Jualan Madani berjumlah RM2.15 juta, merangkumi Jualan Usahawan, Jualan Rahmah, Jualan Agro, Pesta Rasa @ Selera Malaysia serta trak makanan.
Selain itu, inisiatif Padanan Perniagaan berjaya menjana nilai lebih RM400,000 sepanjang penganjuran.
PACU melalui kenyataannya menambah bahawa kesan ekonomi langsung sepanjang tiga hari itu membuktikan program sedemikian mempunyai nilai keberhasilan tinggi.
“Lonjakan transaksi jualan dan padanan perniagaan membuktikan bahawa program ini bukan sekadar pameran, tetapi pemangkin ekonomi komuniti,” kata PACU lagi.
Selain aktiviti ekonomi, program ini turut memberikan manfaat perkhidmatan awam secara langsung kepada masyarakat.
Kaunter bayaran kompaun terpilih Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan kutipan keseluruhan RM134,473, manakala seramai 1,252 individu menerima surat tawaran kerja melalui sesi temu duga terbuka.
Program yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut dihadiri dua Timbalan Perdana Menteri serta barisan Jemaah Menteri dan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam, menjadikan ia antara acara kerajaan paling besar tahun ini.
Sebanyak 500 pengisian program ditawarkan di bawah lapan segmen utama merangkumi Belia Madani, Kesejahteraan Rakyat Madani, Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), Produk Rakyat Madani, Ukhuwah Rakyat Madani, Jualan Madani, Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dan Kepengerusian ASEAN & Diplomasi Madani.
Kerajaan turut melancarkan beberapa inisiatif baharu termasuk Sahabat Penggerak Madani, Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0, Pekeliling Iltizam, Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA), Modul Latihan ARPA dan Buku Malaysia Merdeka, yang menjadi tumpuan pengunjung di zon reformasi perkhidmatan awam.
Mengulas keseluruhan pencapaian, PACU menegaskan bahawa kejayaan penganjuran kali ini membuktikan kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat terus kukuh.“Sokongan rakyat yang hadir dalam jumlah begitu besar memperlihat keyakinan mereka terhadap agenda pembaharuan negara.
"PACU komited untuk memastikan program seperti ini memberikan impak sebenar kepada kesejahteraan rakyat,” jelasnya. - KitaReporters

