Malaysia tidak akan menyerah kalah. Malaysia tidak akan berputus asa. Malaysia terus berusaha mencari laluan terbaik untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan untuk saudara seagama rakyat Palestin di Gaza khususnya melalui sempadan di Rafah, Mesir.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia akan terus memperteguh usaha serta ikhtiar untuk mencari laluan terbaik menyalurkan bantuan kemanusiaan buat saudara-saudara kita yang amat memerlukan di Gaza menerusi sempadan Rafah di Mesir.
"Ini termasuklah berbincang bersama negara sahabat yakni Mesir," tegas beliau.
Katanya, Malaysia faham cabaran akan besar yang perlu dihadapinya, namun iltizam kita lebih daripada itu.
"Setiap usaha rundingan dan koordinasi ini adalah demi memastikan rakyat Gaza mendapat hak mereka untuk hidup, menerima bantuan, dan bebas daripada kezaliman.
"Ini isu kemanusiaan dan kita perlu terus berikhtiar serta tidak berganjak dalam pendirian kita memperjuangkan keadilan. Jangan sekali kita menyerah," tegas beliau lagi dalam satu hantaran dalam akaun rasmi Facebooknya pada Khamis, 9 Oktober 2025.

Sementara itu, dalam satu lagi hantaran, Perdana Menteri menjelaskan, berunding bukan bererti menyerah, berunding bukan bermakna kita lemah.
"Sebaliknya, berunding adalah tanda kebijaksanaan dan kematangan dalam merungkai konflik dan mencari jalan damai.
"Kita boleh berbeza pandangan, namun tetap perlu ruang berbincang kerana diplomasi ialah senjata bangsa yang berprinsip dan cintakan keamanan," jelasnya.
Sehubungan itu, kata beliau, jemputan kepada mana-mana pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bukan soal tunduk menyembah, sebaliknya keberanian untuk bercakap terus kepada kuasa besar, agar suara kolektif ASEAN dan dunia Islam didengar.
"Inilah erti diplomasi Kerajaan Madani yakni tegas pada prinsip, bijak dalam langkah, untuk memastikan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa terus diperkukuh dan dihormati.
"Manakala kedaulatan kita untuk bebas bersuara dalam isu-isu yang dekat di hati rakyat akan terus terjamin," tambah Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media
