
Oleh NOOR AZMAN YUSOF
Universiti Utara Malaysia (UUM)
Dalam kerangka Malaysia Madani, pegawai tadbir merupakan nadi utama pentadbiran negara. Mereka adalah penggerak yang memastikan dasar kerajaan sampai kepada rakyat, diterjemah dalam bentuk pelaksanaan yang berkesan dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Tanpa pegawai tadbir yang cekap dan berintegriti, perjalanan organisasi akan pincang. Pentadbiran yang lemah akan menjejaskan kepercayaan terhadap institusi, sedangkan pentadbiran yang baik akan meningkatkan keyakinan warga organisasi. Justeru, peranan mereka sangat besar, bukan sekadar mengurus fail atau mesyuarat tetapi menentukan hala tuju sebuah organisasi.
Integriti sebagai roh pentadbiran
Integriti adalah kunci utama. Ia menjadi asas kepada keyakinan terhadap pentadbiran negara. Seorang pegawai tadbir yang berintegriti bukan sahaja melaksanakan tugas mengikut peraturan tetapi juga menjiwai nilai amanah dan ihsan.
Tanpa integriti, pelan strategik dan dasar yang digubal hanya akan tinggal di atas kertas. Pegawai tadbir yang berintegriti pula mampu menterjemahkan dasar itu menjadi tindakan nyata yang mengangkat maruah organisasi dan menjamin kesejahteraan pekerja.
Pegawai tadbir yang berjaya adalah mereka yang bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, malah berpegang teguh kepada prinsip moral. Inilah nilai yang harus dijadikan teras dalam membina sebuah pentadbiran berlandaskan Malaysia Madani.
Ilmu, profesionalisme dan visi jauh
Era pentadbiran moden menuntut pegawai tadbir menguasai pelbagai bidang ilmu termasuk undang-undang, kewangan, teknologi maklumat, pengurusan sumber manusia dan juga kemahiran insaniah.
Namun, kejayaan mereka tidak hanya diukur daripada kepakaran teknikal semata-mata. Pegawai tadbir mesti berfikiran jauh, strategik dan mampu meramal cabaran masa depan. Mereka perlu bijak menawarkan penyelesaian yang inovatif, tidak terikat dengan rutin harian semata-mata.
Pentadbir moden harus menjadi pemimpin yang berupaya memberi pandangan strategik kepada pucuk pimpinan, selain melaksanakan tanggungjawab dengan penuh profesionalisme.

Dekat dengan pekerja dan mesra komuniti
Pentadbiran yang berkesan tidak boleh hanya berlaku dalam bilik mesyuarat. Pegawai tadbir perlu turun padang, mendengar suara pekerja, memahami keperluan mereka serta membina jaringan kerjasama dengan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat.
Inilah roh Malaysia Madani yang menekankan pentadbiran inklusif, mesra pekerja dan tidak terasing daripada realiti organisasi. Seorang pegawai tadbir yang berjaya sentiasa mendekatkan dirinya dengan warga kerja dan komuniti, bukan sekadar menjadi penjawat awam yang terikat dengan meja dan dokumen.
Persaraan dan kesinambungan kepakaran
Dalam masa yang sama, isu umur persaraan turut mendapat perhatian. Cadangan melanjutkan umur persaraan dari 60 kepada 65 tahun membawa pelbagai pandangan.
Dari sudut positif, langkah ini memberi peluang kepada pegawai berpengalaman untuk terus menyumbang kepada organisasi dan negara. Ia juga membolehkan mereka menambah simpanan persaraan selain memastikan kesinambungan tenaga mahir dalam sektor pentadbiran.
Namun, kebimbangan tetap ada. Peluang pekerjaan untuk generasi muda mungkin terhad, manakala majikan pula berdepan peningkatan kos kebajikan dan kesihatan pekerja.
Justeru, cadangan fleksibel lebih sesuai dipertimbangkan, iaitu umur persaraan dikekalkan pada 60 tahun tetapi pegawai diberi pilihan menyambung perkhidmatan sehingga 65 tahun berdasarkan prestasi, kemampuan dan keperluan organisasi.
Membimbing generasi pelapis
Legasi sebenar seorang pegawai tadbir tidak hanya diukur pada jawatan yang pernah disandang, tetapi pada berapa ramai pelapis yang berjaya dibimbing sepanjang kerjayanya.
Membentuk pegawai muda yang berintegriti, berilmu dan berdaya saing adalah amanah besar. Hanya dengan cara ini kesinambungan pentadbiran Malaysia Madani akan terus subur pada masa hadapan.
Pegawai tadbir yang berjaya ialah mereka yang mampu meninggalkan kesan positif bukan sahaja pada organisasi, tetapi juga kepada individu yang pernah dibimbing. Nilai ilmu, integriti dan profesionalisme yang dipupuk akan melahirkan generasi pentadbir yang menjadi penerus legasi cemerlang dalam pentadbiran negara.

Malaysia Madani menuntut sebuah pentadbiran yang bersih, berwibawa, inklusif dan berorientasikan pekerja. Pegawai tadbir berperanan sebagai nadi utama dalam memastikan cita-cita ini tercapai.
Mereka yang berintegriti akan menjadi benteng terhadap penyelewengan, mereka yang berilmu akan menjadi perancang strategik, dan mereka yang dekat dengan pekerja akan menjadi jambatan antara organisasi dengan komuniti.
Gabungan semua elemen inilah yang menjadikan pegawai tadbir benar-benar berjaya, berwibawa dan kekal relevan dalam memacu pentadbiran Malaysia Madani.
Noor Azman Yusof ialah bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Utara Malaysia (UUM). Artikel ini adalah pandangan penulis.
