Politik & Negara 25 Aug, 2023

Isu himpunan Hadis 40 Imam Nawawi! Jangan polemikkan modul penghayatan hadis! Hormati inisiatif KPM!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mencermati respons terhadap pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan modul penghayatan himpunan hadis 40 Imam Nawawi.

ABIM menegaskan perkara tersebut tidak harus dipolemikkan kerana modul ini diterapkan dalam lingkungan pelajar beragama Islam sahaja.

ABIM juga menegaskan bahawa perlaksanaan modul ini bertepatan dengan keperluan semasa dan masa hadapan negara untuk memupuk amalan kesederhanaan yang dianjurkan sebagai nilai hidup dalam kalangan generasi muda Muslim khususnya.

Bahkan hadis 40 yang dikumpulkan oleh Imam Nawawi mencakupi penerapan nilai-nilai murni serta akhlak mulia berdasarkan sumber rujukan serta autoriti yang jelas daripada hadis-hadis yang sahih.

Ini sekali gus dapat membasmi fahaman melampau dalam beragama daripada berleluasa di negara ini kerana ia tidak disandarkan pada apa-apa autoriti agama yang kukuh.

Dengan penerapan modul himpunan hadis 40 Imam Nawawi ini secara langsung dapat menjadi kunci untuk memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini dapat terus dipelihara.

Pada masa sama, ABIM juga menegaskan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama Persekutuan tidak hanya bersifat ritual. 

Sebaliknya tafsiran kepada peruntukan Perlembagaan tersebut adalah meluas mencakupi Islam sebagai agama dan cara hidup sempurna Muslim di Malaysia.

Kedudukan Perkara 3 ini sudah pun diperjelas melalui penghakiman-penghakiman di Mahkamah Persekutuan.

Sebagai contoh dalam kes Azalina Jailani (Lina Joy) lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & 2 Yang Lain [2007] 3 AMR 693,  Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz memberi makna Islam sebagai:

“Bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman.”

Justeru ABIM menggesa semua pihak berlapang dada serta menghormati inisiatif kerajaan khususnya dalam membawa pendidikan Islam yang sememangnya sejajar dengan nilai-nilai murni masyarakat kita.


Muhammad Faisal Abdul Aziz

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)


12
13
0
15
0
You will be interested