
HASIL tindakan pantas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengarahkan semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi memperkuat liputan siaran khususnya rangkaian internet telah berjaya menyelesaikan masalah petugas media yang membuat liputan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak yang sedang berlangsung sekarang sehingga sehingga 26 April 2025.
Ketika ini, semua penyedia perkhidmatan iaitu CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan tindakan terkini yang ditambah baik kepada MCMC.
Antara inisiatif penambahbaikan yang telah dirancang termasuk pengoptimuman stesen pemancar sedia ada; pemasangan pemancar sementara; dan perkongsian infrastruktur antara penyedia perkhidmatan.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang sebelum ini, Ishsam Shahruddin, 58, yang tiba-tiba rebah dan meninggal dunia ketika mengambil bahagian dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 25 Februari 2025 lalu.


Sebelum ini Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegur mengenai masalah liputan internet dan telekomunikasi yang tidak memuaskan di 27 lokasi dalam DUN Ayer Kuning.
Atas teguran itu, SKMM telah mengambil tindakan pantas mengarahkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi memastikan liputan internet berada pada tahap memuaskan.
Ayer Kuning merupakan sebuah kawasan pilihan raya negeri di Perak yang mempunyai wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dengan kod N48.
Suasana kempen juga berjalan lancar dan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir menerima suntikan semangat apabila mendapat reaksi positif pengundi di tempat-tempat yang dikunjunginya.
Dr Mohamad Yusri yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, 54, berdepan saingan daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44; dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40. Pengundian awal secara pos bermula pada 22 April 2025.

Sehubungan itu, petugas pilihan raya dan juga media di Ayer Kuning mengucapkan terima kasih kepada SKMM yang dapat bertindak pantas selepas ditegur oleh Fahmi supaya memperkuat liputan jalur lebar di 27 kawasan yang perkhidmatannya dikenal pasti tidak memuaskan.
Ini berlaku selepas pihak yang terbabit dalam pilihan raya itu menghadapi masalah menjalankan tugas kerana kapasiti internet yang lemah sebelum dan pada awal hari penamaan calon. Sebaik menerima aduan, ia telah berjaya diatasi selepas campur tangan SKMM.
“Alhamdulillah, internet di sini dah baik-baik sahaja ketika saya membuat liputan, takda sangkut-sangkut,” kata Wan Zahari Wan Salleh yang membuat liputan PRK DUN Ayer Kuning. - KitaReporters
