.
Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita yang dikeluarkan pada 26 Mei 2025 menjadi Wawasan Komuniti ASEAN 2045 (ACV 2045) untuk memastikan rantau Asia Tenggara menjadi tiang seri kestabilan, tatkala dunia bergelut dengan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan ekonomi global.
Selain itu, Wawasan Komuniti ASEAN 20245 ini berikrar kepada generasi akan datang bahawa masa depan rantau ini harus dibina atas asas kemampanan, keterangkuman dan kemakmuran bersama.
"Malaysia berbangga menerajui Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita, satu dokumen penting yang menandakan iltizam seluruh rantau untuk membina ASEAN yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat," tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Deklarasi ini, katanya, yang membawa hala tuju baharu ASEAN pasca-2025, merangkumi empat tonggak utama iaitu politik-keselamatan, ekonomi, sosiobudaya dan keterhubungan.
"Ia menekankan pertumbuhan adil, penyertaan yang terangkum serta kesiapsiagaan menghadapi cabaran masa depan seperti perubahan iklim, kemajuan teknologi dan tekanan geopolitik.
"Di bawah kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, kita tampil dengan wawasan yang bukan sahaja menyatukan rantau ini, malah meletakkan ASEAN sebagai pemacu utama perubahan global berlandaskan nilai dan kekuatan serantau," tambah beliau.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia berbangga menjadi pemacu utama di sebalik lahirnya Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita, yang ditandatangani negara-negara anggota ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 Mei 2025.

"Saya tegaskan bahawa deklarasi ini adalah lambang tekad bersama untuk memacu integrasi serantau, menjunjung kemakmuran yang adil dan membina masa depan ASEAN yang lebih bersatu, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat.
"Menerusi deklarasi ini, ASEAN berikrar untuk tidak hanya menyesuaikan diri tetapi turut menerajui perubahan, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), inovasi digital serta ekonomi hijau dan biru.
"Saya turut gariskan keperluan membina pertumbuhan mampan dengan memperkasa potensi insan, merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan taraf hidup seluruh warga rantau ini," jelas beliau.
Anwar turut menegaskan, Deklarasi Kuala Lumpur mencerminkan iltizam Malaysia dan negara anggota ASEAN untuk menjadikan rantau ini sebagai tiang seri kestabilan, tatkala dunia bergelut dengan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan ekonomi global.
"Namun dalam kita menggapai langit menerusi inovasi dan teknologi baharu, saya tegaskan bahawa usaha ini mesti diurus secara berhemah agar kemajuan tidak mengorbankan keadilan dan kesejahteraan sosial.
"Wawasan Komuniti ASEAN 2045 (ACV 2045) ialah ikrar kepada generasi akan datang bahawa masa depan rantau ini harus dibina atas asas kemampanan, keterangkuman dan kemakmuran bersama.
"Semoga ikhtiar ini menjulang ASEAN ke mercu tertinggi dan menjadi sumber kebanggaan kepada seluruh rakyat di rantau ini," harap beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media
