Politik & Negara 16 Oct, 2023

Badan pengawasan bebas pantau ahli politik! Agar patuhi standard dipersetujui ramai! - Ismail Sabri

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: [email protected]

Share this

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan sebuah badan pengawasan bebas ditubuhkan dan diberi kuasa untuk melaksanakan audit dan semakan berkala terhadap tingkah laku pegawai awam khususnya ahli politik. 
Beliau berkata, ini bagi memastikan mereka mematuhi standard yang telah dipersetujui dan diterima umum.
"Badan ini dianggotai individu-individu yang mempunyai watak yang tidak tercalar dan kelayakan yang tidak dapat dipertikai termasuk mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan pembetulan, dalam kes di mana standard ini dilanggar.
"Namun, harus kita akui peranan dan usaha agensi-agensi Kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia. 
"SPRM menguatkuasa dan membanteras rasuah manakala Institut Integriti Malaysia memperkasa nilai integriti dalam negara. Agensi-agensi ini perlu diperkasakan lagi," katanya.


Beliau berkata demikian dalam kolumnya 'Jalar Fikir' yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 14 Oktober 2023. 
Pada masa yang sama, Ismail Sabri berkata, teknologi menawarkan peluang yang belum pernah ada sebelum ini dalam usaha meningkatkan integriti politik.
"Dari sistem berasaskan blockchain yang memastikan transaksi kewangan yang telus hingga algoritma bertenaga AI (kecerdasan buatan) yang dapat mengesan corak rasuah, teknologi boleh menjadi sekutu kuat dalam perjuangan kita melawan rasuah.
"Namun, teknologi juga menimbulkan risiko. Peningkatan deepfakes, penyebaran berita palsu (fake news), dan serangan siber boleh merosakkan usaha kita untuk memperkukuh integriti politik. Oleh itu, kita juga harus berjaga-jaga dalam mengurangkan risiko ini," katanya. 
Tambahnya, usaha untuk memberi kesedaran dan membentuk masyarakat berintegriti sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan sejak dahulu sehingga hari ini. - KitaReporters/Kenyataan Media

10
14
0
13
0
You will be interested