Seorang wanita Gaza meratapi nasib selepas mengalami keguguran kesan ketakutan melampau selain berdepan keadaan tidak selamat di pusat perlindungan sementara di utara Gaza. - Kredit foto: Reuters
KESAN perang bukan sekadar ke atas infrastuktur semata-mata tetapi lebih parah meninggalkan kesan kepada trauma dan emosi dan juga boleh menjejaskan kesihatan kepada sesiapa yang melalui detik menakutkan tersebut.
Memetik portal middleeast.com pada 18 januari 2024, ratusan kes keguguran dan kelahiran pramatang direkodkan kepada wanita Gaza akibat tekanan melalui dan perasaan panik yang menghantui golongan itu selain berdepan pemindahan kejam oleh tentera aparteid Israel.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, Ashraf Al-Qudra berkata, kira-kira 60,000 wanita hamil di Gaza berdepan risiko kehamilan yang mempunyai komplikasi.
Malah kekurangan fasiliti kesihatan di tempat pemindahan menyebabkan golongan sasaran itu lambat untuk sampai ke hospital ketika berdepan saat getir.
Sementara itu, Penyelaras pasukan Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Sean Casey memberi amaran tentang situasi kritikal hospital Gaza, dengan wanita hamil berisiko teruk dan sekiranya keadaan berterusan ia bakal membawa kesan yang membahayakan nyawa.
Dilaporkan kadar keguguran di Gaza meningkat 300 peratus sejak pengeboman Israel bermula selepas 7 Oktober tahun lepas (2023).
Dengan keadaan teruk di hospital Gaza, terutama di wilayah utara, kekurangan bekalan telah mengakibatkan risiko jangkitan dan kematian yang tinggi selepas bersalin.
Sebahagian wanita Gaza rela bersalin di kediaman sendiri tanpa bantuan alatan lengkap perubatan susulan keadaan hospital yang sesak. - Kredit foto: CNN
Pengarah eksekutif Persatuan Perancang & Perlindungan Keluarga Palestin, Ammal Awadallah berkata, semua wanita hamil kini berdepan risiko teruk untuk bersalin dalam keadaan tidak selamat dan diletakkan dalam situasi di mana mereka bersalin di dalam kereta, khemah, dan tempat perlindungan.
Lebih menyedihkan, kaum ibu itu dibiarkan tanpa rawatan sewajarnya dalam masa beberapa jam selepas bersalin susulan kemudahan yang terlalu sesak dan sumber yang sangat terhad.
Bahkan, sehingga saat ini, hanya 13 daripada 35 hospital di seluruh Gaza beroperasi namun berdepan pelbagai kekurangan fasiliti.
Pada masa sama, Kementerian Kesihatan di Gaza merekodkan lebih 8,000 kes jangkitan hepatitis A akibat kesesakan dan tahap kebersihan diri yang rendah di tempat perpindahan.
Malah, menjangkakan jumlah jangkitan akan bertambah sekali ganda di seluruh Semenanjung Gaza yang terkepung.
Beliau menyeru semua masyarakat antarabangsa untuk mewujudkan mekanisme baru yang berkesan yang menjamin aliran bantuan perubatan mengikut keperluan yang diisytiharkan.
Selain menyeru Mesir, negara-negara Arab dan dunia bebas untuk mencari mekanisme baharu bagi memastikan lebih 6,500 orang yang cedera diberi rawatan segera sebagai keutamaan segera dan merawat mereka di hospital-hospital di luar Gaza. - KitaReporters
Keadaan huru-hara akibat serangan pengeboman yang bertali arus tanpa henti menyebabkan keadaan menjadi lebih tidak terurus dan selamat sehingga masyarakat Gaza kini berdepan masalah kesihatan termasuk jangkitan infuenza A. - Kredit foto: Al-Jazeera