Politik & Negara 26 Aug, 2025

Ini bukan perbuatan manusia, ini perbuatan haiwan! Bukan sekadar peperangan, tetapi penjajahan! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this


"Sejak puluhan tahun, tanah Palestin dirampas, rumah dihancurkan, sekolah dimusnahkan, bahkan masjid dan gereja pun tidak terlepas daripada kezaliman Zionis. 

"Apa yang berlaku di Gaza hari ini bukan sekadar peperangan, tetapi penjajahan dalam bentuk paling zalim dan tidak berperikemanusiaan.

"Ini bukan perbuatan manusia, ini perbuatan haiwan! Segalanya dirampas, tanah, rumah, keluarga, nyawa. Namun dunia yang mendabik dada tentang hak asasi dan demokrasi memilih untuk berpaling," tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada acara Malam Himpunan dan Selawat: Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada malam 24 Ogos 2025.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan Madani mengumumkan tambahan dana sebanyak RM100 juta untuk rakyat Palestin sebagai sokongan dan solidariti rakyat Malaysia dengan perjuangan dan tuntutan rakyat Palestin.



Beliau bersama puluhan ribu rakyat Malaysia telah berhimpun untuk menyatakan tekad kerajaan dan rakyat Malaysia bersama rakyat Gaza dan Palestin.

"Alhamdulillah, seluruh dunia melihat rakyat Malaysia bangkit bersatu menolak kezaliman, menentang pembunuhan anak-anak kecil dan wanita serta menuntut keadilan yang telah dinafikan sejak puluhan tahun, tatkala tatanan dunia gagal memberi jaminan hidup sebagai manusia buat rakyat Palestin," jelasnya.

Malaysia, katanya, tidak pernah berpaling dan dalam setiap pertemuan antarabangsa, di Tokyo, Beijing, New Delhi, mahupun Eropah, beliau tidak pernah lupa untuk membawa suara saudara kita yang dizalimi di Gaza.

"Hari ini saya tegaskan, usaha belum selesai. Kita harus gandakan sokongan. Malaysia bersama rakan antarabangsa terus menyalurkan bantuan, dari rawatan perubatan hingga peluang pendidikan. 

"Dan malam tadi, Kerajaan Madani mengumumkan tambahan dana RM100 juta untuk rakyat Palestin.

"Kita tahu adakalanya perjuangan ini terasa melelahkan. Kadangkala terasa buntu dan tanpa harapan. 

"Tetapi janji Allah jelas. Pertolongan-Nya itu dekat. Kita perlu terus percaya dan teguh melangkah tanpa takut dan gentar. Percayalah, kebenaran dan keadilan pasti akan menang," tegas Anwar.



Menurut Perdana Menteri, bulan ini bulan kemerdekaan Malaysia. 

"Seperti pejuang-pejuang lampau di tanah air, di Indonesia, India, Vietnam yang bangkit melawan penjajah, maka semangat merdeka itu kini kita teruskan bersama Palestin. 

"Atas semangat ini, kita kirimkan segala usaha dan doa kita buat rakan-rakan aktivis yang akan belayar ke Gaza pada 31 Ogos ini.

Ingatlah, suara yang bergema malam ini bukan suara parti, bukan suara kaum, tetapi suara rakyat Malaysia yang menuntut keadilan. Jangan biarkan perpecahan melemahkan kita.

"Kepada saudara-saudara kita di Gaza dan Palestin, ketahuilah kami tidak akan meninggalkan kalian. Kami belajar daripada semangat kalian, kami hormati dan junjung tinggi perjuangan kalian. 

"Dengan izin Allah, kami akan teguh bersama kalian buat selamanya. Free Palestine!," ujar Perdana Menteri. - KitaReporters/Kenyataan Media



9
12
0
16
0
You will be interested