Amerika Syarikat (AS) memuji kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merunding dan mengatur gencatan senjata bagi menamatkan persengketaan Thailand-Kemboja. Amerika Syarikat memuji Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim atas kepimpinan beliau dalam memudahkan proses (gencatan senjata) ini. - KitaReporters

Amerika Syarikat (AS) memuji kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merunding dan mengatur gencatan senjata bagi menamatkan persengketaan di sempadan Thailand-Kemboja.
"Kami mengalu-alukan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim atas kepimpinan beliau.
"Maaf... Kami memuji Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim atas kepimpinan beliau dalam memudahkan proses (gencatan senjata) ini, dan kerana menjadi tuan bersama mesyuarat khas penting pada 28 Julai 2025 lalu dengan Amerika Syarikat," kata Timbalan Jurucakap Jabatan Negara AS, Tommy Pigott pada taklimat media di Washington DC pada 7 Ogos 2025.

Malaysia berjaya merundingkan gencatan senjata antara dua negara anggota ASEAN - Thailand dan Kemboja - yang berperang di kawasan sempadan masing-masing.
"Alhamdulillah, dua negara sahabat ASEAN, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menamatkan persengketaan melalui pelaksanaan gencatan senjata bermula tengah malam (28 Julai 2025) ini.
"Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, menerima amanah besar bersama rakan-rakan lain untuk memantau pelaksanaan dan pematuhan gencatan senjata ini, atas permintaan kedua-dua pihak," kata Anwar pada 28 Julai 2025.
Terbaharu, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit bersama delegasi masing-masing di Perdana Putra, Putrajaya pada 7 Ogos 2025.

Anwar berkata, dalam perbincangan itu, kedua-dua negara mencapai beberapa persetujuan penting, termasuk komitmen untuk mematuhi sepenuhnya gencatan senjata tanpa sebarang bentuk serangan, tidak menambah kekuatan atau mengubah penempatan tentera, mengelak tindakan provokatif, serta menjamin perlindungan terhadap orang awam dan infrastruktur awam.
Sehubungan itu, Amerika Syarikat mengalu-alukan mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) di Kuala Lumpur tersebut.
Jabatan Negara, kata Pigott, menyifatkan mesyuarat itu sebagai langkah pertama yang membina ke hadapan bagi mengukuhkan gencatan senjata Kemboja-Thailand.
"Presiden (Donald) Trump dan Setiausaha (Marco) Rubio menggesa kedua-dua kerajaan untuk menghormati sepenuhnya komitmen mereka dan berusaha untuk mencapai keamanan yang berkekalan," kata Pigott lagi. - KitaReporters
