Politik & Negara 02 Sep, 2025

Tatadunia baharu! Malaysia syor kedaulatan dalam kebergantungan! Keharmonian tanpa keseragaman! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this


Dalam menangani tatadunia yang kian gawat dan goyah, Malaysia menawarkan jalan berbeza iaitu kedaulatan dalam kebergantungan, di mana kedaulatan dan kebergantungan menjadi tunjang keikhlasan persahabatan antara negara.



Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam suasana dunia yang penuh ketidaktentuan, keikhlasan persahabatan (dalam hubungan diplomatik) menjadi sesuatu yang amat berharga.

"Hari ini kita menyaksikan tatanan dunia yang kian goyah. Peraturan dagangan berubah sesuka hati, kawalan eksport diumum dan ditarik balik sekelip mata dan perpecahan menjadi pilihan.

"Malaysia menawarkan jalan berbeza, yakni kedaulatan dalam kebergantungan. Ia bukan soal tunduk kepada orang lain, sebaliknya seni untuk berdiri teguh tanpa perpecahan. 

"Negara boleh kekal sepenuhnya dengan pendirian dan kedaulatan, namun terbuka kepada aliran perdagangan, sumber dan teknologi yang diperlukan untuk mencapai kemakmuran bersama," jelas beliau.

Terdahulu Perdana Menteri, diberi penghormatan pada Selasa, 1 September 2025, untuk menyampaikan syarahan umum di Universiti Tianjin, sebuah institusi bersejarah berusia lebih 130 tahun, . 

Pada syarahan itu, Anwar menerima cenderamata dihadiahkan pihak universiti yang berupa replika sijil diploma pertama yang dikurniakan sekitar tahun 1900.



Beliau selanjutnya berkongsi tentang kepercayaan yang terbina antara Malaysia dan China sejak setengah abad lalu, selain menyinggung soal kegawatan ekonomi dunia ketika ini, juga tentang hikmah sejarah yang mengingatkan kita bahawa konflik adalah pilihan.

"Keputusan Malaysia mengiktiraf Republik Rakyat China pada 1974 adalah langkah berani berlandaskan keyakinan pada masa depan, yang berkembang menjadi kepercayaan. 

"Setiap pertemuan saya dengan Presiden Xi Jinping mengukuhkan kefahaman bahawa meskipun berbeza dari segi saiz, kedua-dua negara mampu berdiri setara dengan penuh hormat dan keikhlasan," ujarnya.

Katanya, daripada asas inilah lahir kerjasama merangkumi projek infrastruktur yang menghubungkan ekonomi, kerjasama tenaga hijau dan ekonomi digital, malah kemudahan perjalanan antara rakyat kedua-dua negara. 

"Dalam suasana dunia yang penuh ketidaktentuan, keikhlasan persahabatan ini menjadi sesuatu yang amat berharga.

Hari ini kita menyaksikan tatanan dunia yang kian goyah. 

"Peraturan dagangan berubah sesuka hati, kawalan eksport diumum dan ditarik balik sekelip mata dan perpecahan menjadi pilihan.

"Dalam kekalutan itu, kita punya tanggungjawab untuk memastikan sejarah dan tatanan dunia masa hadapan ditulis dengan dakwat Asia agar ia lebih adil, lebih terangkum dan memberi peluang kepada semua," tambah beliau.

Menurut Anwar, inilah semangat “harmony without uniformity” (keharmonian tanpa keseragaman) yang sudah lama berakar di Asia. 

"Daripada pelayaran Laksamana Zheng He sehingga falsafah hé ér bù tóng, kita belajar bahawa tamadun mampu memperkaya antara satu sama lain tanpa menghilangkan identiti. 

"Maka kedaulatan dalam kebergantungan adalah terjemahan moden kepada semangat itu," jelas beliau lagi.



Sebagai rantau yang kini memacu pertumbuhan global, kata Perdana Menteri, Asia memikul amanah untuk memastikan aturan baharu ekonomi tidak membawa perpecahan, sebaliknya membina kemakmuran bersama. 

"Perpecahan bukan sesuatu yang ditakdirkan. Kita boleh memilih jambatan atau membina tembok, memilih kerjasama atau persaingan sempit.

"Jika semangat ini kita teguhkan, Asia akan melangkah ke hadapan dengan bermaruah, kekal berpendirian namun terbuka antara satu sama lain. 

"Di situlah lahir kekuatan kita, dan di situlah kita memperteguh Asia di persada dunia," tegas Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media


22
18
0
24
0
You will be interested