Politik & Negara 27 Jul, 2025

Kerajaan tetap, konsisten tegakkan prinsip demokrasi! Benarkan kebebasan bersuara dan mengkritik! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Kredit foto: Astro Awani


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan Madani kekal dan konsisten berpegang pada prinsip yang demokratik yakni kebebasan bersuara dan menyatakan kritikan. 

"Kritikan dan perbezaan pandangan tidak seharusnya dilihat dari lensa permusuhan semata-mata.

"Malah ia harus terus bercambah dan subur mekar menjadi denyut nadi negara bangsa yang matang, progresif dan berdaulat. 

"Yang penting, ia harus berjalan dengan tertib, aman dan dalam semangat cintakan tanah air," kata Anwar sebagai reaksi terhadap Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 26 Julai 2025.

Perdana Menteri juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas pasukan keselamatan; dari polis, bomba, pasukan perubatan sehingga kepada sukarelawan yang telah bertugas dengan ketangkasan, disiplin dan dedikasi yang tinggi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam serta memastikan kelancaran acara himpunan yang dihadiri puluhan ribuan peserta demonstrasi.



"Kepada saudara saudari yang hadir -- sama ada yang menyuarakan pandangan, menyatakan solidariti, mahupun yang datang dari jauh -- saya ucapkan selamat berpulang ke destinasi masing-masing. Semoga perjalanan kalian dipermudah dan dilindungi.

"Justeru, sebagai Perdana Menteri, saya kekal dan konsisten berpegang pada prinsip yang demokratik yakni kebebasan bersuara dan menyatakan kritikan," jelas beliau.

Beliau berkata, prinsip yang sama telah kerajaan Madani semangati melalui Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (Prime Minister’s Question Time, PMQT) di Parlimen.

"Pada sesi ini Ahli-ahli Parlimen (MP) bebas bertanyakan terus apa sahaja soalan, mengangkat bangkangan kepada saya selaku Perdana Menteri secara terus. 

"Mohon kalian terus desak Ahli-ahli Parlimen untuk terus hadir dan aktif mengambil bahagian pada semua sesi, terutama sesi PMQT," pinta Anwar.

Katanya, beliau mengundang semua untuk terus berdialog dan berwacana, mencari titik temu, melakar serta membina negara ini bersama.

"Tidak sekadar di jalanan, tetapi bangkit telaah, menggapai dan menguasai lapangan-lapangan baharu agar negara ini dilonjak ke depan secara mantap dan bertenaga," unjurnya.



Selain itu, Perdana Menteri untuk kembali ke Kuala Lumpur sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 nanti.

"Dan andai kalian berkesempatan lagi pada masa hadapan, jangan lupa untuk kembali ke Kuala Lumpur. 

"Mercu-mercu tanda bersejarah di sekitar ibu kota, termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka, kini sedang dalam rencana pemuliharaan secara besar-besaran agar kita dapat tingkatkan pelancongan dan mendukung ekonomi di sekitar ibu kota yang sarat nilai sejarah, harapan dan semangat nasional.

"Ini semua bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 kelak dan pelbagai aktiviti menarik menanti, Insya-Allah," ujar beliau lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media


11
16
0
13
0
You will be interested