Insiden yang tular baru-baru ini melibatkan paparan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di sebuah pameran bayi di Mid Valley sekali lagi membuka mata masyarakat tentang kepentingan menjaga maruah lambang negara.
Alasan ‘kesilapan teknikal’ tidak lagi boleh diterima pakai lagi sebagai jawapan mudah setiap kali berlaku kecuaian dalam memaparkan bendera negara.
Jalur Gemilang bukan sekadar corak atau grafik kerana ia adalah lambang rasmi negara yang mengandungi unsur Perlembagaan, agama, perpaduan dan kedaulatan.
Simbol bulan sabit yang hilang itu bukan sekadar bentuk, tetapi mewakili Islam sebagai agama Persekutuan. Ketiadaannya menjadikan Jalur Gemilang itu cacat dan menyalahi tafsiran sebenar bendera negara.
Ia bukan sekadar isu remeh visual, tetapi menyentuh sensitiviti nasional dan keagamaan sekali gus perpaduan yang seharusnya difahami semua, termasuk warga asing dan pihak luar yang terlibat dalam sebarang urusan rasmi di negara ini.
Lebih menyedihkan, ini bukan kes terpencil. Dua insiden sebelum ini melibatkan akhbar arus perdana turut memaparkan bendera tanpa bulan sabit, dan dalam semua kes, alasan yang diberi hampir sama iaitu “kesilapan teknikal”.
Jika benar itu alasan yang paling mudah, maka ia menuntut satu tindakan yang lebih serius dan menyeluruh. Kesedaran sivik, tatacara penggunaan simbol negara dan penguatkuasaan undang-undang harus diperkukuh.
Undang-undang sedia ada seperti Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 wajar diguna pakai dengan tegas untuk memberi pengajaran.
Dalam masa yang sama, semua pihak termasuk agensi pengiklanan, syarikat reka grafik, media dan penganjur acara perlu diwajibkan memiliki rujukan sahih berkaitan penggunaan Jalur Gemilang.
Menyalahkan orang bawahan atau membiarkan insiden seumpama ini berlalu begitu sahaja hanya akan menyebabkan perkara yang sama terus berulang.
Pihak penganjur dan syarikat terlibat wajar tampil segera membuat permohonan maaf terbuka, serta berikrar tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.
Semangat patriotisme bukan hanya berkibar ketika Hari Kebangsaan, tetapi terzahir dalam bagaimana kita memperlakukan lambang negara setiap hari. Jalur Gemilang bukan milik satu kaum atau satu kelompok kerana ia milik seluruh rakyat Malaysia, dan penghormatan terhadapnya adalah tanggungjawab bersama.
Yang di-Pertuan Agung, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, dengan menegaskan bendera adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara.
Seri Paduka Baginda, juga bertitah, bendera bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni, tetapi mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.
“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.
“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” titah Seri Paduka Baginda pada 16 April 2025.
Sehubungan itu, rakyat jelata menantikan apakah tindakan tegas yang bakal diambil terhadap pihak-pihak yang mencetuskan sensitiviti akibat kesilapan teknikal inii. - KitaReporters